SKMM KENA TEGAS SIASAT NETIZEN ‘BATU API’

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu lebih tegas menyiasat mana-mana individu di negara ini yang cuba menjadi batu api dan menyemarakkan konflik Korea Utara di platform media sosial.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata, ini kerana ada individu atau pihak tertentu yang sengaja mengeruhkan konflik terbabit seperti membandingkan aset pertahanan dan keupayaan ketenteraan dimiliki kedua-dua negara.

“Bayangkan, ada yang membuat perbandingan kononnya kita guna meriam buluh manakala pihak sana (Korea Utara) guna nuklear dan sebagainya. Mereka ini mesti sepatutnya ditangkap. Krisis ini bukan perkara main-main.

“Saya berpendapat, tindakan mereka ini seperti ada rasa dan niat untuk memperlekeh usaha kerajaan yang bertungkus lumus mencari penyelesaian. Ini adalah soal maruah (negara) kita,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Turut senada, Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang meminta tindakan lebih tegas dan pemerhatian lebih rapi daripada SKMM berkaitan masyarakat maya yang selalu menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung krisis itu.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

– Bernama

.