SKMM AKAN SIASAT TMI, ZAID IBRAHIM

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat The Malaysian Insight (TMI) selepas portal berita itu didakwa menghina pemimpin negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap TMI jika didapati bersalah.

“Laporan ke atas TMI telah diterima dan SKMM akan siasat laporan itu.

“Kita akan buat siasatan dan jika didapati melanggar akta yang ada, kita akan beri laporan pada pihak yang berkenaan untuk diambil tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Pagi tadi seorang pembahas membangkitkan isu TMI yang didakwanya giat menyerang Umno serta kepemimpinnya, termasuk presiden mereka Datuk Seri Najib Razak.

Membahaskan usul pendidikan dan agama perwakilan dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham Abdullah meminta pihak berkuasa menyiasat kedudukan pemilik TMI, Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader.

Faridah Begum ialah kakak kepada Ketua Pengarang TMI, Jahabar Saddiq, juga isteri kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Kerjasama dengan polis

Menurut Salleh beliau turut mendengar ucapan Mohd Nashrol itu tadi.

Untuk rekod Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Ogos lalu berkata kerajaan dalam peringkat akhir penyediaan kertas kerja cadangan mendaftarkan semua portal berita termasuk portal propembangkang.

Selepas disiapkan ia akan dibentangkan kepada peguam negara.

Salleh berkata, tujuan pendaftaran itu bagi memastikan semua portal berita lebih bertanggungjawab terhadap setiap laporan yang dibuat selain memastikan wujud penyelarasan pembangunan media atas talian yang teratur.

Sementara itu Salleh berkata SKMM akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat kenyataan dikeluarkan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Katanya tindakan sewajarnya akan diambil ke atas bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu jika didapati bersalah.

– M’kini

.