SKANDAL TANAH: REMAN ANAK EXCO, PEGAWA KHAS DILANJUT

Mahkamah Majistret Johor Bahru melanjutkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini ke atas empat daripada enam lelaki yang disiasat berhubung skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor.

Perintah lanjutan reman sehingga 9 Mac itu dikeluarkan Majistret Hafizah Johor Ariff Johor hari ini.

Ia bagi membolehkan siasatan terus dilakukan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semua mereka sebelum ini ditahan reman selama seminggu bermula Isnin lalu.

Dua pemaju pula dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Semua suspek berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira 8.30 pagi pada 24 Feb lalu.

Mereka yang ditahan merupakan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan negeri Johor, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.
Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Sebanyak 45 akaun bank milik bersama kesemua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.

– Bernama

.