SKANDAL TANAH FELDA: ‘NAJIB TAK PERLU BERLAKON’

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Faiz Fadzil berkata Datuk Seri Najib Razak tidak perlu berlakon dalam isu kehilangan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, selepas skandal itu diketahui umum.

Katanya, perdana menteri sudah mengetahui perkara itu sejak Februari 2017 namun tidak mengarahkan pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Beliau merujuk kenyataan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad ketika sidang media pada 21 Disember lalu, yang mengatakan beliau telah memaklumkan perkara itu sebaik sahaja mendapat tahu mengenainya, pada Februari lalu.

“Perdana Menteri tak perlu berlakon kata perlu siasat, sedangkan beliau tahu sejak Februari 2017. Mengapa ketika itu tak arah siasatan dibuat?

“Seperti kata Shahrir, beliau (Najib) hanya arahkan audit dan rundingan dibuat. Nak runding apa, tanah sudah hilang,” katanya (gambar) pada sidang media selepas penyerahan memorandum oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Sehari selepas isu itu didedahkan kepada umum, iaitu pada 22 Disember lalu, Najib menerusi Twitter berkata telah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan dan menjamin tindakan akan diambil berdasarkan siasatan.

HARAPAN dan ANAK menyerahkan memorandum itu bagi menggesa SPRM meneruskan siasatannya, susulan kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki bahawa isu itu tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Siasat Najib juga

Azam dilaporkan berkata, kes itu melibatkan kelemahan urus tadbir dan maka tertakluk di bawah siasatan polis.

HARAPAN dan ANAK mempersoalkan kesimpulan itu memandangkan SPRM belum pun mengambil keterangan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda dan Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd ketika tanah bernilai RM270 juta itu berpindah hak milik.

Faiz berkata SPRM bukan sahaja perlu menyiasat Isa, tetapi juga Najib.

Beliau mendakwa penukaran hak milik tanah memerlukan kelulusan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWPKL) dan ia turut melibatkan dihadiri wakil daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Mana mungkin pegawai JPM yang ada dalam lembaga exco tanah boleh memberi kelulusan tanpa membawanya kepada perdana menteri, apatah lagi ini melibatkan tanah awam dan mercu tanda Felda.

“Takkan pegawai kerajaan berani membuat keputusan sebegini besar tanpa tanya bosnya. Maka SPRM bukan sahaja perlu siasat Isa, tetapi Najib sendiri,” katanya lagi.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan sentimen sama, iaitu Najib perlu dipertanggungjawabkan dalam hal ini sama seperti beliau dipersalahkan dalam kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara pada 1990-an.

“Bagaimana kita boleh kata perdana menteri tak terlibat dalam kes Felda, kerana kes sebesar ini perlu dilaporkan kepada perdana menteri,” katanya.

Minggu lalu, Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas empat plot tanah bernilai kira-kira RM270 juta ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa ‘meragukan’.

Sejurus selepas pendedahan itu, Shahrir mengumumkan Felda telah membuat laporan polis terhadap pemaju utama Kuala Lumpur Vertical City – projek yang kini dibina di salah sebuah tanah terbabit – tetapi akan berusaha mendapatkan semula hak milih tanah itu.

– M’kini

.