SKANDAL TANAH: EXCO JOHOR DISOAL SIASAT, SULTAN ‘MURKA’

Seorang anggota exco kerajaan negeri Johor telah disoalsiasat selama empat jam berbung siasatan rasuah skandal penukaran status hartanah bumiputera lapor The Star.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, yang “murka” berhubung perkara itu, juga menitahkan exco untuk untuk ‘menghadap’ baginda Selasa lalu, kata seorang sumber kepada The New Straits Times.

Bernama pula melaporkan berikutan skandal rasuah dan seleweng hartanah di Johor itu, exco berkenaan diarahkan bercuti mulai hari ini.

Jumaat lalu, anak exco berkenaan dan pegawai khasnya ditangkap atas dakwaan menerima sogokan untuk menukar lot perumahan bumiputera kepada bukan bumiputera supaya boleh dijual pada harga yang lebih tinggi.

“Ahli exco yang dikaitkan dengan mereka yang ditangkap itu dititahkan menghadap dengan baginda, pagi tadi.

“Baginda (Sultan Ibrahim) murka tetapi saya fikir menteri besar (Datuk Seri Khaled Nordin) lebih berang,” lapor NST yang memetik sumber yang tidak dinamakan.

Pemimpin pembangkang telah menggesa Khaled menjelaskan siri tangkapan itu, tetapi menteri besar berkata beliau tidak akan mengulas sehingga siasatan selesai.
SPRM menyoal siasat exco berkenaan sehari selepas mereka menangkap dan menahan reman seorang pemaju berhubung kes itu.

Sejumlah tujuh suspek termasuk seorang peguam dan dua pemaju lain, telah ditangkap dan wang RM15 juta daripada 45 akaun bank dibekukan dalam kes itu.

Jumaat lalu, SPRM turut merampas 21 kereta mewah dan lima buah motosikal berkuasa tinggi dalam serbuan yang berkaitan dengan kes itu.

– M’kini

.