SKANDAL TANAH: DATUK SERI MASUK WAD

GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu dimasukkan ke hospital swasta dekat sini.

Difahamkan ahli perniagaan itu dimasukkan ke Island Hospital pada Sabtu selepas mengalami insomnia dan sukar menyesuaikan diri dengan keadaan di lokap SPRM.

Tempoh reman enam hari ahli perniagaan berusia 74 tahun itu berakhir pada Ahad.

Datuk Seri itu dan anaknya berusia 47 tahun ditahan SPRM pada 12 April lalu berhubung skandal tanah melibatkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.
Kedua-dua suspek itu mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka di Pulau Pinang yang turut disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurut SPRM, tangkapan berkenaan merupakan susulan daripada siasatan SPRM yang telah menangkap seorang pemegang amanah yayasan tersebut di Pulau Pinang pada 29 Mac lepas kerana disyaki telah menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

– ANN