SKANDAL FGV LEBIH BESAR DARI 1MDB, KATA PAKAR EKONOMI

Skandal Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) lebih besar daripada skandal yang menyelubungi 1MDB kerana ia memberi kesan kepada lebih banyak orang, kata ahli ekonomi terkemuka, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

“Terdapat kecenderungan semua orang dalam pembangkang memberi tumpuan kepada 1MDB, tetapi ada lebih banyak perkara tak masuk akal dan bukan hanya 1MDB sahaja.

“Skandal yang lebih besar pada pandangan saya, yang menjejaskan lebih ramai orang, adalah FGV,” kata Jomo dalam forum bertajuk “Membayangkan Masa Depan: Malaysia Mendepani PRU14” di Bangsar hari ini.

Beliau menegaskan bahawa peneroka Felda mengambil bahagian dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) terbesar dunia dengan FGV pada pertengahan 2012, tetapi kini harga saham berkenaan kurang daripada 40 peratus daripada nilai asal.

Ini katanya, menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ‘merasuah’ peneroka antara lain dengan menghapuskan hutang penanaman semula sebanyak RM5,000.

“Ini menggariskan betapa sensitifnya isu itu,” katanya.

Beliau menegaskan terdapat skandal lain di Malaysia selain 1MDB dan FGV, termasuk isu Gatco di Negeri Sembilan.

Sementara itu Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (AMANAH) Dzulkefly Ahmad yang turut menjadi ahli panel menafikan bahawa pembangkang hanya memberi tumpuan kepada 1MDB.

Dzulkefly berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) juga memberi tumpuan kepada kos sara hidup, GST, skandal Mara dan banyak lagi, termasuk FGV.

Ketika FGV pertama kali disenaraikan, harga sahamnya ialah RM4.55 sesaham. Ia kini disenaraikan pada RM1.83 sesaham.

FGV juga disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jun lalu selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad direhatkan, dan Ketua Pegawai Kewangannya, Ahmad Tifli Mohd Talha bersama dua anggota pengurusan kanan lain digantung.

Pembangkang ‘tidak cekap’

Sementara itu, Jomo berkata BN mungkin memperkukuhkan kedudukannya dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya perkara-perkara itu kekal seperti sekarang.

“Bukan sebab BN, Umno atau perdana menteri sangat kuat. Sebaliknya keadaan pembangkang yang tak cekap,” katanya.

Katanya, pertandingan tiga penjuru akan membuka jalan kepada BN memperolehi majoriti dua pertiga dengan memberikan mandat besar kepada pemerintah untuk memperbaharui undang-undang sesuai dengan kepentingannya.

“Pembangkang kerana tidak dapat bersatu akan memberikan kerajaan ini, yang boleh dikatakan kerajaan paling korup yang pernah kita alami dalam hidup saya, mandat yang lebih kuat.

“Inilah malangnya, dystopia yang kita hadapi (pada masa akan datang),” kata Jomo.

– M’kini

.