SKANDAL BORAK SEKS ULAMA: POLIS TUNGGU VISA RIZIEQ TAMAT

Polis Indonesia kini mengambil pendirian menunggu kepulangan pemimpin kumpulan Front Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab, dari mengerjakan umrah untuk disiasat.

Ketua Perhubungan Massa Polis Metro Jaya, Argo Yuwono, berkata ketua kumpulan pendesak itu memiliki visa selama 28 hari untuk berada di Arab Saudi.

“Jika tempoh visanya tamat, polis berhubung dengan pihak yang berkaitan untuk membolehkan dia pulang segera ke Indonesia,” katanya dipetik Liputan6.com hari ini.

Rizieq, 51, adalah seorang tokoh yang lantang dan mengetuai FPI yang sering bersikap radikal dengan isu membabitkan hal ehwal Islam.

Dia juga adalah watak utama yang mengajak orang ramai mengadakan himpunan besar-besaran bagi mendesak Basuki Tjahaja Purnama – atau Ahok – ditangkap atas tuduhan menghina Islam semasa berkempen untuk menjadi gabenor Jakarta.

Dalam pemilihan baru-baru ini, Ahok akhirnya dikalahkan pasangan bekas menteri, Anies Baswedan dan regunya, Sandiaga Uno.

Baru-baru ini Rizieq dikaitkan dengan skandal perbualan lucah dengan seorang janda dikenali sebagai Firza Husein melalui aplikasi WhatsApp.

Beberapa imej tawan skrin (screen capture) mengenai perbualan kedua-dua mereka juga tersebar, selain beberapa gambar bogel wanita terbabit.

Rizieq sudah beristeri dan mempunyai tujuh anak berangkat mengerjan umrah ketika skandal yang dikaitkan dengannya itu semakin hangat minggu lalu.

Dia juga sempat singgah beberapa hari di Kuala Lumpur dalam perjalanannya itu.

Argo berkata, setakat ini polis Indonesia belum berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan dia pulang semula ke negara asalnya.

Sementara itu peguam Rizieq, Sugito Atmo Pawiro, berkata pemergian pemimpin FPI itu ke Arab Saudi bukanlah sengaja mahu mengelak disiasat polis.
Sugito juga mendakwa skandal berkenaan dijadikan alasan pihak tertentu untuk menangkap Rizieq.

Katanya, memanglah Rizieq dan Firza sama-sama disiasat namun sasaran utama polis adalah Rizieq.

“Firza hanya sasaran antara saja, dia diperalat untuk menjatuhkan kredibiliti Rizieq. Ini adalah isu politik,” katanya.

– M’kini

.