SKANDAL BNM PUNCA 
NILAI RINGGIT JATUH?

KUALA LUMPUR  – Skandal kerugian besar Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang asing yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkemungkinan menjadi faktor yang menyebabkan kedudukan mata wang negara tidak kukuh.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, tidak mustahil jika skandal tersebut mencetuskan ketidakstabilan ekonomi yang diakibatkan oleh kejatuhan nilai ringgit dalam pasaran dunia.

Katanya, situasi itu boleh berlaku apabila masyarakat antarabangsa mempunyai persepsi terhadap keupayaan negara dalam pelbagai aspek termasuklah ekonomi, politik dan sosial yang akhirnya mempengaruhi nilai ringgit.
“Apabila pihak luar tidak yakin dengan Malaysia, sama ada untuk menjalankan perniagaan mahupun pelaburan, sudah tentu nilai mata wang kita makin jatuh dan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi serta rakyat.

“Skandal itu secara tidak langsung mencetuskan kemungkinan yang menyebabkan nilai duit kita semakin rendah dari semasa ke semasa dan kesannya dirasai oleh pelbagai pihak termasuk rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Belia 2017 anjuran Kolej Saito, di sini hari ini.

Baru-baru ini, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan bank pusat itu terlibat dalam perdagangan spekulasi mata wang antarabangsa yang berisiko tinggi sepanjang 1991 hingga 1993 dan menyebabkan kerugian lebih daripada jumlah yang dilaporkan.

Dalam pada itu, Irmohizam yang juga Presiden Majlis Belia Selangor menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera dengan melibatkan kedua-dua pihak iaitu wakil kerajaan dan pembangkang bagi membuktikan ketelusan dalam siasatan yang dijalankan.

Jelasnya, skandal yang berlaku bukan isu baharu dan retorik, namun perlu dijelaskan supaya semua pihak termasuk rakyat tahu keadaan sebenar yang berlaku ketika itu, sekali gus membuktikan ketelusan pentadbiran negara.

“Semua pihak yang dikaitkan dengan skandal itu haruslah berani tampil memberi penjelasan termasuk BNM sendiri dan jangan berselindung. Dengan adanya RCI, siasatan terperinci dapat dilakukan.

“Skandal itu sedikit-sebanyak memberi tempias kepada barisan kepemimpinan hari ini kerana rakyat sering dimomokkan dengan fakta buruk mengenai pengurusan negara tanpa mengetahui cerita sebenar,” ujarnya.

– UTUSAN

.