SIVARASA: UCAPAN RINGKAS, BUKAN CERAMAH

Ahli Parlimen Subang dari PKR, R Sivarasa, menafikan beliau memberi ceramah politik di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, pada Rabu minggu lalu.

Portal Berita Harian Online memetiknya sebagai berkata, kehadirannya di masjid itu disalahertikan sesetengah pihak.

Menurutnya, beliau hadir untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen berkenaan.

“Saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan Selangor terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor.

“Saya juga hadir sebagai Ahli Parlimen kawasan Subang yang dipilih oleh majoriti pengundi Islam dan bukan Islam.

“Saya tidak hadir sebagai wakil menteri besar seperti yang dikatakan oleh beberapa pihak yang salah faham fakta kerana saya tidak diminta untuk mewakili beliau. Itu sahaja yang berlaku.,” katanya yang dipetik oleh portal itu.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan Sivarasa itu.

Haris berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Munir Bani.
“Saya hadir selepas dimaklumkan berkenaan majlis penyampaian sumbangan itu oleh Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara,” katanya sambil menambah beliau menyampaikan sumbangan bersama-sama dengan Penyelaras DUN Radzlan Jalaludin yang turut memberikan ucapan.

Sivarasa juga mengakui beliau berkongsi sedikit pengalaman sebagai Ahli Parlimen Subang yang membuat lawatan ke surau dan masjid di kawasannya sejak 2008 kepada kira-kira 70 wakil surau dan masjid di kawasan itu yang menerima sumbangan Ramadan.

“Saya yakin (perkara) ini sudah dijelaskan oleh semua pihak yang terbabit kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.

– M’kini

.