‘SITUASI TEGANG TAPI TIDAKLAH SAMPAI PERANG

MUAR – Tiada isyarat kecemasan sehingga mencetuskan peperangan berikutan ketegangan yang berlaku melibatkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara rentetan pembunuhan warga republiknya, Kim Jong-nam di tanah air baru-baru ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan isyarat mencemaskan melibatkan kedua-dua buah negara.

“Setakat ini belum ada laporan mencemaskan antara negara kita dan Korea Utara meskipun saya akui situasi sekarang agak tegang. Namun ia tidaklah sampai membawa kepada peperangan.

“Malah situasi yang berlaku antara Korea Utara dengan Korea Selatan juga adalah lebih teruk lagi jika difikirkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan-cawangan Umno Muar di Dewan Umno, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya berharap ketegangan itu tidak berterusan dibincangkan secara terbuka di khalayak ramai kerana bimbang proses rundingan diplomatik antara kedua-dua negara akan terjejas.

“Kabinet semalam dimaklumkan bahawa dua perkara penting dalam pucuk pimpinan khususnya yang dinyatakan oleh Perdana Menteri akan melibatkan soal keselamatan warga Malaysia di Korea Utara. Yang kedua adalah siasatan terhadap kes ini yang mana ia bukan sahaja dapat dirasai tapi dilihat prosesnya.

“Jadi dalam hal ini, proses masih berjalan dan setakat hari ini kita janganlah membicarakan benda-benda berkaitan soal perbincangan ini di khalayak luar kerana dikhuatiri boleh menjejaskan rundingan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk Wisma Putera dan Perdana Menteri sendiri,” ujarnya.

Jong-nam berada di klia2 pada 8 pagi 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau sejam kemudian, apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi agen saraf VX.

Jong-nam kemudian mendapatkan pertolongan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana.

Beliau ke Malaysia pada 6 Februari lepas menggunakan pasport tertera nama Kim Chol.

– http://www.sinarharian.com.my

.