‘SITUASI DI KELANTAN TAK SAMA DENGAN SELANGOR’

Situasi politik di Kelantan tidak sama seperti di Selangor, selepas PAS mengumumkan kerjasama politik dengan PKR terbatal, kata Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ini kerana, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad, PAS yang memutuskan hubungan dengan PKR, bukan sebaliknya.

“Kalau PKR masih duduk dalam kerajaan Kelantan ia tak pelik sebab PKR tak putus hubungan, tapi kalau PAS nak kekalkan (PKR) ia terpulang pada mereka.

“Di Selangor, PAS yang putus hubungan tapi nak kekalkan hubungan. Itu pelik. Jadi situasi (di dua negeri itu) berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini.

Malaysiakini hari ini melaporkan bekas senator PKR Saiful Izham Ramli sebagai menggesa PKR mengosongkan kesemua lantikan politik di Kelantan susulan tindakan PAS memutuskan kerjasamanya.

Katanya, PKR perlu menunjukkan langkah itu jika mahu melihat PAS bertindak sama di Selangor.

– M’kini

.