SITI HASMAH MANGSA PENGANIAYAAN POLITIK, KATA PEMIMPIN WANITA, PEGUAM

AHLI politik dan pemimpin masyarakat sivil hari ini menuduh Putrajaya melakukan penganiayaan terpilih berhubung tindakan polis menyoal Dr Siti Hasmah Mohd Ali, empat bulan selepas majlis protes yang disertainya.

Mereka meluahkan kehairanan dengan tindakan menyoal isteri ketua pembangkang Dr Mahathir Mohamad, yang berucap pada “Himpunan Ungu”, perhimpunan wanita bersatu menentang situasi politik Malaysia pada masa kini, pada September tahun lepas

“Ini merupakan satu lagi contoh klasik penganiayaan politik oleh mereka yang terdesak,” kata Nurul Izzah Anwar daripada PKR kepada The Malaysian Insight hari ini.

Bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan juga mengatakan Dr Siti Hasmah dipilih oleh polis dan ini merupakan pelanggaran hak asasi manusia.

“Saya percaya terdapat penganiayaan terpilih, ia sangat keterlaluan dan tidak dapat menerima yang mereka sanggup menyoal Siti Hasmah berhubung perhimpunan itu.

“Apa pelan hak asasi manusia yang PM rancang untuk perkenalkan pada Mac apabila tiada hormat terhadap hak-hak asas yang dijamin oleh Perlembagaan?” kata Ambiga, merujuk kepada pengumuman baru-baru ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said yang Putrajaya akan mengumumkan Pelan Tindakan Hak Asasi Kebangsaan.

Siti Hasmah, 91, memberikan ucapan ringkas sambil berdiri di atas trak pikap kepada kira-kira 1,000 wanita berpakaian ungu yang berarak dari pusat membeli-belah Maju Junction ke Kompleks Pertama di pusat bandar.

Beliau menggesa wanita menentang “politik toksik”, termasuk ketidakadilan terhadap wanita, keganasan politik, menggunakan ancaman, perkauman, seksisme, ucapan kebencian, penyalahgunaan undang-undang dan mengabaikan Perlembagaan persekutuan.

Beliau disoal hari ini di pejabat Dr Mahathir di Yayasan al-Bukhary kerana didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman.

Speaker Selangor Hannah Yeoh hari ini berkata Putrajaya takut dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir dan isterinya, terutama menjelang pilihan raya umum tahun ini.

“Pasti banyak yang mereka akan hilang jika mereka sangat takut dengan pasangan vokal berusia 90an, sama ada polis sangat lambat dalam kerja mereka atau ini adalah satu lagi intimidasi politik sedang dilakukan,” kata pemimpin DAP itu.

Sekiranya Dr Siti Hasmah mengatakan sesuatu yang menghasut dan ia memberi kesan kepada masyarakat, Ahli Parlimen DAP (Kulai) Teo Nie Ching menggesa polis menjelaskan pertuduhan dan butirannya.

“Jika beliau mengatakan sesuatu yang menghasut, mengapa polis baru mengambil tindakan sekarang?

“Dan setakat ini kita tidak melihat bagaimana ucapannya memberi kesan negatif kepada masyarakat, jadi polis mesti menjelaskan kepada kami jika penyiasatan itu tidak mempunyai agenda politik.”

Sementara itu, Eric Paulsen daripada Lawyers of Liberty berkata Siti Hasmah menjadi sasaran kerana beliau kini menyebelahi pembangkang.

Tindakan menyoalnya, yang datang empat bulan selepas protes, jelas bermaksud untuk menakut-nakutkan beliau, katanya.

“Ini penyiasatan yang tidak jujur dan remeh. Beliau jelas menjadi sasaran – untuk menakut-nakutkan dan membebankannya – hanya kerana beliau kini menentang kerajaan.

“Jurang empat bulan jelas menunjukkan kurangnya kejujuran.”

Beliau berkata protes itu dijalankan selaras dengan kebebasan asas, dan siasatan polis tidak perlu.

“Ia protes aman – sejajar dengan hak semua rakyat Malaysia untuk berkumpul dan bercakap dengan aman. Polis membazirkan sumber berharga yang harus digunakan untuk menyiasat jenayah sebenar,” kata Paulsen.

– https://www.themalaysianinsight.com

.