SITI AISHAH DIHUKUM PENJARA LIMA TAHUN

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas belas pelajar sarjana, Siti Noor Aishah Atan selepas mendapati beliau bersalah atas tuduhan yang berkaitan dengan pemilikan 12 buku berkaitan dengan keganasan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samad berkata mahkamah berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan, dan menyatakan bahawa pembelaan tertuduh “tidak munasabah langsung”.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan,” katanya.

Menyampaikan keputusannya kemudian, Shariff juga mengecam tindakan Siti Aishah sebagai “jijik dan kotor”.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki 12 buah buku yang merupakan item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu Jemaah Islamiyah, Daesh dan al-Qaeda.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada pukul 12.25 tengah hari, 22 Mac tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut.

“Tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkapan pertama,” kata hakim , sambil mengarahkan buku-buku yang dirampas itu dimusnahkan.

– M’kini