SISTEM KUOTA BUKAN PENGHINAAN KEPADA MELAYU: PKR

SHAH ALAM – Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin bahawa sistem kuota perlu dianggap sebagai satu ‘penghinaan’ kepada bangsa Melayu adalah satu kenyataan yang cetek, tidak tepat.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin menegaskan, pelaksanaan sistem kuota dan juga beberapa polisi afirmatif sebelum ini pastinya dimulakan atas niat dan prinsip asas yang kuat, iaitu sebagai satu ikhtiar untuk mengembalikan keadilan sosial serta memastikan pengagihan ekonomi yang saksama.
“Malangnya kebijakan semulia ini apabila diurus oleh mereka yang korup dan tamak telah mengakibatkan pelaksanaannya tidak mencapai maksud yang dicita-citakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maka, ujarnya adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa sistem kuota harus dianggap sebagai satu penghinaan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

“Sistem kuota dan afirmatif yang dirangka berdasarkan kepada semangat membantu rakyat Malaysia yang susah, memerlukan dan terpinggir, tanpa mengambil kira ras dan latar belakang,” katanya.

Justeru katanya, langkah ini bukan sesuatu yang hina, bahkan mampu menjadi pemangkin agar mewujudkan kesaksamaan di kalangan rakyat; bahawa mereka semuanya setara.

Katanya lagi, penghinaan yang sebenar adalah apabila sistem kuota dan afirmatif ini digunakan sebagai alasan untuk menghalalkan beberapa amalan buruk parti pemerintah Umno-BN hari ini.

“Penghinaan kepada bangsa Melayu adalah apabila rasuah menjadi berleluasa, penyalahgunaan kuasa,” katanya.

– SH