SINGAPURA KINI KIAN HAMPIR KEPADA JHO LOW?

Seorang lagi dihukum penjara di Singapura berkaitan skandal 1MDB. Kali ini ia melibatkan bekas Pengurus cawangan Falcon Private Bank di Singapura, Jens Sturzenegger, seorang warganegara Switzerland.
Beliau mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan gagal melaporkan urusniaga berpotensi jenayah melibatkan berbilion-bilion dollar dan berbohong kepada pihak berkuasa negara itu bagi melindungi kepentingan kewangan Jho Low.
Tetapi, sebagaimana yang dilaporkan media pada 5 Januari lalu, Sturzenegger sebenarnya sedang berhadapan dengan 16 pertuduhan oleh pihak berkuasa Singapura.
Atas pengakuan bersalah terhadap enam pertuduhan itu, beliau dihukum penjara 28 minggu dan didenda S$128,000.
Sehingga ini, Singapura sudah menghukum penjara dan denda kepada empat individu berhubung penyiasatan yang mereka jalankan berkaitan 1MDB.
Sebelum ini, Yvonne Seah Yew Fong, Yak Yew Chee dan dan Yeo Jiawei iaitu pegawai-pegawai daripada BSI Bank sudah pun dijatuhkan hukuman penjara dan denda atas kesalahan masing-masing.
Kedua-duanya, BSI Bank dan Falcon Private Bank juga sudah pun diarahkan tutup oleh pihak berkuasa kewangan Singapura, MAS.
Kesalahan melibatkan Sturzenegger sehingga beliau dihukum penjara selama 28 minggu dan didenda S$128,000 ialah berkaitan pemindahan mencurigakan sejumlah AS$1.262 bilion melalui Falcon.
Laporan-laporan media sebelum ini mendedahkan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib juga adalah melalui Falcon, tetapi Perdana Menteri mendakwa ia merupakan derma yang diterimanya daripada kerabat Diraja Arab Saudi.
Bagaimanapun, kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman AS mengatakan kemasukan jumlah keseluruhan AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta ke akuan peribadi “Malaysian Official 1” adalah wang 1MDB yang dilencongkan.
Sehingga ini, dakwaan Jabatan Kehakiman AS itu tidak pernah dinafikan oleh sesiapa.
Dengan keputusan terbaru mahkamah di Singapura ini, apa yang paling mudah difahami ialah pihak berkuasa Singapura kini semakin menghampiri ke arah Jho Low.
Unit jenayah kolar putih Singapura sebelum ini telah mendedahkan bahawa Jho Low adalah orang penting dalam penyiasatan mereka berkaitan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.
Mereka juga sudah pun merampas akaun bank dan hartanah bernilai S$240 juta milik Jho Low dan keluarganya.
Setelah beberapa individu disabitkan bersalah serta dihukum, jika urusan mendakwa Jho Low dilakukan selepas ini, ia akan menjadi lebih mudah bagi pihak berkuasa Singapura membuktikan kesalahannya.
Apa jadi jika Jho Low didakwa?

Dan siapa pula yang “berasap punggungnya” di Malaysia?

– http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.