Silap memikirkan Agong milik kuasa mutlak, kata Permaisuri Johor

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkata adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak menentukan bagaimana negara ini ditadbir.

Ini susulan pelbagai spekulasi berhubung sultan dari negeri mana yang bakal menaiki takhta berikutan penggal Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah akan berakhir.

“Ramai, secara kurang tepat, memikirkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak. Namun, ini adalah tidak benar.

“Seri Paduka, sepertimana raja berperlembagaan yang lain, seperti Ratu Elizabeth II, menunaikan tanggungjawab rasmi sebagai ketua negara namun tidak mempunyai hak menentukan bagaimana negara ini ditadbir,” katanya dalam Facebook.

Menurut Raja Zarith, iaitu isteri kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, seperti di United Kingdom, kuasa terletak di tangan perdana menteri.

“Di United Kingdom, ia adalah perdana menteri dan anggota kerajaannya, bukan Ratu England, yang mempunyai kuasa eksekutif serta bertanggungjawab membuat keputusan berhubung bajet, undang-undang, peraturan, polisi luar negara serta tentang pelbagai perkara dan isu lain.

“Ia sama seperti di Malaysia,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa bahawa Datuk Seri Najib Razak menyekat segala cara demokratik untuk menyingkirkannya berhubung skandal 1MDB, merayu Yang di-Pertuan Agong untuk campur tangan.

Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong dilaporkan memberitahu Mahathir, bahawa baginda tidak mempunyai sebarang kuasa.

Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.
Pelantikan Yang di-Pertuan Agong memang ditunggu-tunggu kerana ramai yang mengharapkan Seri Paduka mengambil pendirian lebih lantang terhadap kerajaan.

Majlis Raja-Raja akan menamatkan mesyuarat tiga hari esok dan dijangka membuat keputusan mengenai Yang di-Pertuan Agong yang akan datang.

– M’kini

.