SIDANG MEJA BULAT 1MDB – SUATU LANGKAH MENGUNDUR KE BELAKANG

Selepas menunjukkan ketegasan menjadi pemimpin tunggal Pas yang berani bersuara mengenai 1MDB sehingga berbeza pendirian dengan Hadi Awang dan kemudian tidak gentar melontarkan pelbagai pertanyaan kepada Ketua Propaganda kerajaan, Dr. Puad Zarkashi yang sehingga kini terus terdiam, Tuan Ibrahim Tuan Man kini bercadang untuk mengadakan sidang meja bulat membincangkan kedudukan syarikat pelaburan kerajaan itu yang daripadanya diketahui ada seorang dua tiba-tiba menjadi bilionwan tanpa ketahuan.
Timbalan Presiden yang sekarang menjadi Pemangku Presiden Pas itu mengumumkan demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, pagi semalam.
Dilaporkan beliau berkata, sidang meja bulat itu akan disertai antara lain oleh bekas Pengerusi 1MDB, Bakke Salleh, pemimpin veteran DAP yang menganggotai PAC, Dr. Tan Seng Giaw, bekas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan seorang pakar ekonomi, Dr. Jomo Kwame Sundram.
Tujuan sidang yang dikatakan untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak itu dijadual akan diadakan pada 7 Ogos depan.
Meskipun mungkin bertujuan baik, tetapi hasrat Pas mengadakan sidang meja bulat mengenai 1MDB ketika ini adalah tindakan politik yang hanya mengundur ke belakang dan jelas membuang masa semata-mata.
Apakah gunanya mengadakan sidang meja bulat lagi setelah jelas terbukti Najib Razak tidak peduli dan hanya memekakkan telinga kepada semua suara yang menuntut kebenaran diketengahkan berkaitan 1MDB?
Apakah gunanya mengadakan sidang meja bulat lagi setelah Peguam Negara disingkir, anggota kabinet dipecat, Pasukan Petugas Khas berkubur begitu saja dengan sendirinya, anggota PAC ditawar dedak jawatan dalam kerajaan dan semua siasatan langsung tidak berjalan?
Apakah gunanya mengadakan sidang meja bulat lagi setelah banyak soalan di Parlimen tidak dijawab, tuntutan mengadakan sessi khas tidak dilayan dan Najib pula lebih suka melarikan diri atau enggan menjawab sebarang pertanyaan?
Apakah gunanya mengadakan sidang meja bulat lagi setelah hukuman dan pendakwaan berkaitan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang diselewengkan sudah pun dijatuhkan di Singapura dan beberapa negara lain?
Apakah gunanya mengadakan sidang meja bulat lagi setelah DOJ Amerika Syarikat kini dalam proses mahu merampas harta-harta yang dibeli menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan dengan tujuan memulangkannya semula kepada Malaysia?
Apakah gunanya mengadakan sidang meja bulat lagi setelah Malaysian Official 1 tidak menafikan dakwaan DOJ menerima berbilion ringgit melaui akaun peribadinya, isteri Malaysian Official 1 diberi hadiah barangan kemas bernilai jutaan ringgit, Jho Low ada jet, kapal layar, hartanah mewah sambil berjoli sakan di pesta arak serta kasino dan Riza Aziz entah bila berniaganya tiba-tiba jadi producer kaya di Hollywood dengan kemampuan membeli apartment bernilai ratusan juta?
Apakah gunanya mengadakan sidang meja bulat lagi setelah cabaran Tuan Ibrahim sendiri agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dan laporan audit 1MDB dilepaskan daripada cengkaman OSA, langsung tidak dipeduli?
Jika mahu dibariskan, banyak sekali persoalan “apakah gunanya mengadakan sidang meja bulat lagi” boleh dibangkitkan sebagai membuktikan bahawa apa pun percubaan mencari kebenaran mengenai 1MDB, selagi Najib kekal sebagai Perdana Menteri, hanyalah sia-sia dan membuang masa.
Tidakkah ia dengan sendjrinya membuatkan Pas mengundur ke belakang dengan tiba-tiba sekadar mahu berbincang di meja bulat saja?
Apatah lagi, jemputan yang disenaraikan Pas untuk sidang meja bulat itu juga amat-amat meragukan dari segi matlamat, tujuan, sasaran serta keputusan akhirnya.
Kenapa tidak dijemput Rafizi Ramli atau Tony Pua sebagai salah seorang ahli panelnya?
Apakah kelebihan Dr. Tan Seng Giaw dari segi pengetahuan dan pemahaman mengenai kemelut 1MDB berbanding Rafizi atau Tony Pua yang selama ini diketahui umum paling lantang dan berani bersuara?
Begitu juga dengan Khalid Ibrahim, suaranya selama ini hampir-hampir tidak pernah kedengaran bersuara tentang 1MDB, jadi apa yang boleh diharapkan daripadanya dalam sessi meja bulat itu?
Sama juga dengan Bakke, meskipun pernah menjadi Pengerusi 1MDB dan kemudian meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan peranan Lembaga Pengarah yang selalu diketepikan, beliau selamanya hanya diam dan tidak pernah bersuara sama-sekali?
Maka, apakah dalam sidang meja bulat Pas itu nanti, beliau boleh diharapkan bertukar berani seperti Rafizi?
Atau mungkinkah beliau hanya sekadar berani berkata, “biarlah kerajaan saja menyelesaikannya”?
Kalau pun ada yang boleh diharapkan berani bersuara hanyalah Dr. Jomo, tetapi beliau hanyalah ahli ekonomi saja. Suara dan pengaruhnya amat terhad sekali.
Jadi, apa hasilnya sidang meja bulat itu?
Dalam menangani kemelut 1MDB di mana Perdana Menteri serta kerajaan hanya “pekak dan tuli” terhadap pelbagai suara menuntut kebenaran di samping beberapa negara luar telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya berkaitan penyelewengan dan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengannya, tindakan yang sesuai hanyalah dengan turun kepada rakyat untuk menyedar serta mengajak mereka menolak Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Hanya bahasa undi di mana akhirnya rakyat berani bangkit membuat perubahan sehingga sebuah kerajaan baru dapat terbentuk merupakan satu-satunya langkah yang sesuai pada ketika dan saat ini dalam menangani kemelut 1MDB.
Kebenaran tentang 1MDB, siapa dalang serta siapa petualangnya hanya dapat diketahui dengan sejelas-jelasnya setelah kerajaan yang ada ini dapat disingkirkan dan kerajaan baru menggantikannya.

Kepada Tuan Ibrahim, jangan buang masa dengan cadangan sidang meja bulat ini serta jangan juga sesekali jalan mengundur ke belakang – ramai yang ketawa dibuatnya nanti.

– http://shahbudindotcom.blogspot.hk/2

.