SIDANG DUN S’GOR KECOH, ADUN BN PERTIKAI BAYARAN SMUE

Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini kecoh sedikit apabila berlaku pertikaman lidah antara wakil pembangkang dan kerajaan negeri berhubung pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang disifatkan pembangkang mempunyai kelemahan dalam prosedur.

Ketika membangkitkan isu itu, Datuk Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) berkata terdapat waris penerima yang langsung tidak menerima baki bantuan tunai berjumlah RM1,500 selepas bayaran permulaan RM1,000 diterima.

“Terdapat waris tidak peroleh baki bayaran sampai setahun,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor, di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun ketika bangkit menjawab persoalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri Dr Daroyah Alwi berkata mereka yang tidak menerima baki bayaran itu mungkin tidak mendaftar dengan skim tersebut.

Ini kerana katanya, mengikut prosedur pembayaran baki itu akan dibuat dalam tempoh 60 hari selepas bayaran permulaan.

Jawapan Doroyah menyebabkan Abdul Shukor bangkit mencelah dan mempertikaikan prosedur pendaftaran SMUE yang dianggapnya tidak lengkap dan menyeluruh.
“Jika tidak mendaftar, bagaimana mereka di peringkat awal boleh menerima bayaran RM1,000 daripada Adun (anggota dewan undangan negeri),” soalnya.

SMUE merupakan satu skim khairat kematian yang diwujudkan khusus untuk menjaga kebajikan rakyat Selangor yang diagih kepada keluarga warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang meninggal dunia.

Menerusi skim ini, manfaat berjumlah RM2,500 akan disumbangkan oleh
kerajaan negeri dengan bayaran wang tunai pertama RM1,000 diagih kepada penama selepas menerima laporan kematian manakala baki RM1,500 akan disampaikan dalam tempoh 60 hari berikutnya.

-Bernama