SIBUK BERPOLITIK, KRISIS KDN MAKIN SERIUS

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta berhenti menyalahguna agensi kerajaan untuk berpolitik sebaliknya, fokus kepada menyelesaikan krisis Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mendakwa, merujuk kepada beberapa laporan, negara sedang berdepan sekurang-kurangnya 16 pengganas Daesh yang masih bergerak bebas di Malaysia.

Menurutnya, angka ini juga belum dikenalpasti kerana tiada maklumat sebenar diperoleh.

“Ke semua isu ini adalah di bawah KDN, jelas sekali kementerian itu sedang menghadapi krisis. Amat malang sekali Ahmad Zahid pula sibuk berpolitik dan sanggup mengerahkan tenaga kerja di bawah kementerian beliau untuk mencari dan mengorek maklumat kad pengenalan bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu sidang media, di Parlimen.

Katanya, isu ini sudah beberapa kali dibangkitkan kerana banyak persoalan yang timbul, antaranya, bagaimana pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia boleh membenarkan pengganas Daesh memasuki Malaysia.

“Saya telah banyak kali membangkitkan tentang masalah sistem imigresen berbilion ringit yang ada pada masa kini serta penglibatan sindiket orang dalam yang melakukan kerja khianat membolehkan kemasukan orang asing secara tidak sah,”katanya.

Katanya, Ahmad Zahid dan agensi di bawahnya sepatutnya lebih fokus dan serius menanangi krisis ini kerana sudah banyak insiden membuktikan Imigresen Malaysia telah dikritik.

“Krisis MH370, dua warga Iran masuk menggunakan pasport palsu, pada dua bulan lepas pula, kerajaan telah membenarkan lebih kurang 30 pengganas Daesh melepasi sempadan.

“Dan selepas hampir dua bulan, pihak berkuasa hanya mampu mengesan kurang daripada separuh pengganas Daesh tersebut memasuki negara pada Mei 2017,” katanya.

– www.sinarharian.com.my

.