SIASATAN DOJ ADA AGENDA LEBIH BESAR, KATA HISHAMMUDDIN

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien menganggap pemfailan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang terbaru boleh memesongkan agenda yang lebih besar.

Hishammuddin berkata, pihaknya tidak boleh menghentikan langkah DOJ itu kerana ia pernah dilakukan sebelum ini.

“Biar mereka buat apa yang mereka nak buat, bukan perkara baru sebelum ini mereka pernah buat, kita ada jawapan kita sendiri.

“Tapi kita tengok benda-benda macam inilah yang boleh memesongkan dari agenda kita yang lebih besar. Let them do, we cannot stop them,” kata Hishammuddin kepada pemberita dalam sidang media selepas memberi sumbangan Hari Raya di kementeriannya di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung pemfailan terbaru yang dilakukan oleh DOJ, hari ini.

Malaysiakini melaporkan, saman sivil ketiga yang difailkan oleh DOJ menyenaraikan lagi secara terperinci tentang dakwaan penyelewengan wang 1MDB.

Antaranya, DOJ mendakwa hartawan yang juga ahli perniagaan Jho Low dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$9.9 juta bagi membeli barang kemas untuk ibunya serta model Australia, Miranda Kerr.

Malah, AS$28.9 juta turut dibelanjakan untuk membeli barang kemas isteri Malaysian Official 1.

DOJ turut mendakwa, kapal layar mewah milik Low, “The Equanimity” dibeli menggunakan wang 1MDB.

Dalam pemfailan ketiga yang dibuat semalam, DOJ mendakwa Low turut membeli lebih AS$1 bilion hartanah dengan menggunakan dana yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Selain itu, dalam pemfailan tersebut, DOJ juga berkata, sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan bagi membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri Malaysian Official 1.

– M’kini

.