Selain kesemua individu tersebut yang berada di dalam kerajaan pada era 1990-an, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd. juga dilihat wajar disoal siasat memandangkan beliau berkhidmat bersama BNM dalam tempoh yang sama.

Tanpa mahu membuat sebarang tuduhan, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid berkata, kesemua mereka wajar memberi ketera­ngan masing-masing kerana memegang jawatan penting semasa aktiviti itu dilakukan.

“Siapa lagi yang sesuai. Sudah tentulah individu-individu pen­ting di dalam Kementerian Kewangan dan BNM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan bebe­ra­pa pihak supaya kerajaan me­nu­buhkan RCI bagi melakukan siasatan semula terhadap skandal tersebut.

Pada 26 Januari lalu, Abdul Murad mendedahkan BNM me­ngalami kerugian lebih AS$10 bi­lion (RM44 bilion) akibat daga­ngan mata wang asing iaitu lebih tinggi daripada nilai yang dilaporkan mengikut buku laporan BNM antara 1991 hingga 1994.

Namun, nada berlainan disua­rakan bekas Timbalan Pengurus BNM, Dr. Rosli Yaakop yang ketika dihubungi berpendapat, cadangan penubuhan RCI agak lewat walaupun beliau sebelum ini lantang mahu skandal dagangan mata wang asing itu didedahkan.

Beliau berkata, jika siasatan tetap mahu dijalankan, individu-individu utama di dalam BNM pada waktu itu harus disiasat antaranya Nor Mohamed.

Rosli kini merupakan Pakar Ekonomi Pas, bertanding atas tiket parti Islam itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Negeri Sembilan, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yunus Rahmat.

Pada pertengahan 2012, Rosli dilapor mendedahkan beberapa maklumat berkenaan skandal mata wang itu dengan menamakan Dr. Mahathir, Daim serta Nor Mohamed sebagai antara watak penting dalam aktiviti tersebut.

Beliau menyatakan bank pusat itu mengalami kerugian mence­cah RM30 bilion akibat aktiviti dagangan mata wang asing itu.