SIASAT SELANGOR, PULAU PINANG JIKA BR1M RASUAH

SHAH ALAM – Wakil rakyat pembangkang perlu disiasat sekiranya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan tunai seumpamanya dianggap sebagai perbuatan rasuah dan menyalahi undang-undang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng berkata, kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang berada di bawah pemerintahan pembangkang turut menjalani pelbagai program yang melibatkan bantuan tunai kepada pengundi berdaftar di kedua-dua negeri itu.

“Saya sangat terkejut dengan kenyataan Tun Mahathir yang mengatakan BR1M adalah rasuah dan menyalahi undang-undang.

“Banyak negara lain di dunia ini turut memiliki skim pemindahan tunai secara langsung seperti BR1M dan ia tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir mengingatkan rakyat di negara ini bahawa BR1M merupakan rasuah dan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakannya bagi meraih sokongan rakyat dalam PRU 14 akan datang.

Teck Meng yang juga Setiausaha Agung Parti Gerakan Malaysia berkata, BR1M adalah satu dasar yang baik yang mana mampu mencapai beberapa objektif sosio-ekonomi seperti membantu mereka yang memerlukan, mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan menggalakkan pembangunan luar bandar yang turut diakui oleh Pakatan Harapan.

“Memandangkan Pakatan Harapan melalui wakil rakyatnya sedang aktif dalam mempromosi dan mengedarkan bantuan kerajaan seperti BR1M, beliau (Mahathir) boleh menggesa Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini kerana mereka juga dikira bersubahat dan melanggar undang-undang.

“Walau apa pun kenyataan beliau, apa yang penting, kami di Parti Gerakan akan terus membantu rakyat untuk memastikan hak mereka menerima BR1M dan bantuan lain di peringkat persekutuan dapat dipenuhi,” ujarnya.

– Sinar Harian

.