SIASAT MAHATHIR HANYA KERJA SIA-SIA

IPOH – Tiada kepentingan siasatan terhadap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung skandal kewangan melibatkan kerugian kira-kira AS$1 bilion seperti didedahkan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perkara itu tidak mendatangkan kesan kepada pemerintahan kerajaan ketika ini yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mengapa nak siasat benda yang sia-sia, yang dah berlarutan lebih puluhan tahun selain perlu bazirkan tenaga, masa dan wang ringgit?

“Bagi saya, unjuran daripada Pas untuk desak supaya siasatan dibuat terhadap Tun Mahathir hanya nak bodek Najib dan hanya nak beri tekanan kepada pengerusi Bersatu itu,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff mendesak satu kertas siasatan dibuka berikutan dakwaan CIA, wujudnya penyelewengan membabitkan Bumiputera Malaysian Finance (BMF) dan Forex semasa era pemerintahan Mahathir.

Nurul Islam mengingatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia supaya ambil tindakan segera berdasarkan dakwaan CIA itu.

Mohammad Nizar berkata, siasatan yang perlu dilakukan ketika ini oleh pihak berkuasa adalah membabitkan penyelewengan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) seperti dakwaan pelbagai badan antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat (AS).

“Yang sepatutnya disiasat 1MDB. Pemain-pemainnya masih hidup, selain kita boleh dapat akses daripada mereka. Kalau disiasat (1MDB) dan berjaya, harta yang berada di AS dan London itu boleh dikembalikan kepada rakyat Malaysia kerana dana itu dana awam,” katanya.

Beliau berkata, imej dan kredibiliti negara pada ketika ini dilihat terjejas kerana skandal 1MDB masih terpalit dan tidak diselesaikan secara serius oleh pihak berkaitan.

– Sinar Harian

.