SIAPA YANG SEPATUTNYA TINGGALKAN DUNIA POLITIK

SHAH ALAM – Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta agar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menasihatkan pimpinan partinya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Menurutnya, beliau meminta agar Khairy tidak berterusan untuk memperdayakan rakyat untuk menilai perkara yang betul.

“Bukankah lebih baik jika Khairy menasihatkan pemimpin partinya sendiri yang terpalit dalam rasuah dan kegagalan mentadbir ekonomi negara?

“Berhentilah dari memperdayakan rakyat yang berfikiran waras untuk menilai siapa yang memberi manfaat dan siapa pula yang merosakkan negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Semalam, Khairy berkata, tiga tokoh wajar meninggalkan pentas politik tanah air kerana  mereka akan terus memecahbelahkan rakyat selagi berkecimpung dalam arena itu.

Beliau berkata, individu yang dimaksudkan ialah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Tambahnya Nik Nazmi lagi, dia yakin bahawa rakyat kini semakin bijak menilai dan akan menuntut perubahan semasa PRU14 kelak.

“Pada PRU akan datang, rakyat akan nilai sendiri dan tuntut perubahan pada negara. Cukuplah Malaysia terpalit dengan pelbagai isu seperti 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB),” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa saranan Khairy tersebut membuktikan Umno/BN takut akan kekuatan dan ketokohan yang dibawa oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut dalam misi mengalahkan parti kerajaan itu.

“Saya nasihatkan KJ (Khairy) untuk suruh pemimpin yang tidak berintegriti tinggalkan politik, bukan pemimpin yang nak bersihkan landskap politik negara daripada pemimpin yang tidak berintegriti.

“Kalau pemimpin muda seperti beliau berani bersuara menentang ketidakadilan dan tidak ‘play safe’, tidak wujudnya keperluan untuk Tun M keluar dari bersara namun kerana wujud pimpinan ‘sedemikian’lah membuatkan beliau terpaksa keluar dari persaraan demi perjuangan negara,” katanya pula.

– SH

.