SIAPA RAHIM NOOR HENDAK NASIHAT PAS, TANYA IDRIS AHMAD

PAS meminta Rahim Noor supaya tutup mulut daripada sibuk mencampuri urusan politik dan bercakap soal keselamatan negara kerana bekas ketua polis negara itu malah gagal mengawal keselamatan di balainya sendiri, kata naib presidennya Idris Ahmad.

Idris membuat kecaman itu dengan merujuk kepada insiden mata lebam Anwar Ibrahim selepas bekas timbalan perdana menteri itu ditahan polis kira-kira 20 hari selepas dipecat daripada jawatan kerajaan dan Umno pada September 1998.

“Siapa Rahim Noor hendak membuat tuduhan awal berlakunya tragedi Memali kerana amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,” kata Idris dalam satu kenyataan media petang ini.

“Saya hendak tanya pula Rahim Noor yang pukul Datuk Seri Anwar (Ibrahim) terpengaruh dengan amanat siapa? Etika kepolisan tidak berkelakuan seperti ini.”

The Malaysian Insight hari ini melaporkan peringatan Rahim kepada PAS desakan parti itu supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat semula peristiwa berdarah Memali hanya akan mengaitkan peranan Hadi sehingga mengakibatkan 18 nyawa terkorban lebih 30 tahun lalu.

Sambil menyebut Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya terbunuh di Memali itu sebagai orang terpelajar dan bukan jahil agama, Idris terus mengecam Rahim: “Dia tidak pernah bertindak pukul orang sehingga cedera parah seperti yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.”

Rahim dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 atas tuduhan memukul Anwar selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu pada April 2001.

Menurut Idris, Rahim sepatutnya menjaga keamanan dan keselamatan balai dan orang kena tuduh daripada perbuatan samseng daripada mana-mana pihak semasa beliau jadi ketua polis negara.

“Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Lebih baik Rahim Noor diam daripada bercakap soal Memali dan membuat tuduhan yang melulu kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi,” katanya.

Sementara itu naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS berharap penubuhan RCI oleh kerajaan, sekiranya jadi, dapat memberikan keadilan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam tragedi Memali, Baling, Kedah pada November 1985.

Mohd Amar berkata PAS pernah mencadangkan penubuhan RCI itu tetapi tidak diterima oleh kerajaan, sebaliknya kerajaan hanya membentangkan Kertas Putih di Parlimen.

“Kandungan Kertas Putih itu lebih banyak menimbulkan persoalan dan tidak dapat diterima oleh PAS pada masa itu selain ia diragui,” katanya.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelanta percaya RCI tiada kepentingan politik dan hanya akan menyiasat perkara yang sebenarnya berlaku dalam tragedi tersebut.

Isu RCI Memali timbul selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 20 Ogos lalu berkata kerajaan sedia menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keadilan perlu ditegakkan dan orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu mesti dipertanggungjawabkan.

“Saya selaku Menteri Dalam Negeri akan meneliti sendiri semua laporan mengenai peristiwa tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bukit Gantang.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata dalam menegakkan undang-undang semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik.

Peristiwa Memali pada 19 November 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.