SIAPA PENIPU LEBIH BESAR?

Muslims pray at the Grand mosque ahead of the annual Haj pilgrimage in Mecca, Saudi Arabia, August 29, 2017. REUTERS/Suhaib Salem TPX IMAGES OF THE DAY

Mengikut laporan media yang disiarkan pada 27 Mac 2017,  Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin memberitahu, rakyat Malaysia menanggung kerugian lebih RM10 juta disebabkan penipuan visa umrah sejak tahun 2012 yang lalu.

Katanya, kerugian itu merangkumi 266 kes yang dilaporkan kepada kementeriannya.

“Tindakan berurus niaga dengan syarikat atau individu tidak berlesen yang menjadi ejen jualan tiket, terutamanya secara dalam talian merupakan tindakan yang sangat berisiko dan mendedahkan  orang ramai kepada penipuan.

“Semua agensi pelancongan berlesen mestilah mengambil usaha secukupnya dalam memastikan status rakan niaga mereka sama ada berlesen atau tidak,” Mas Ermieyati kepada para wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah di Kuala Lumpur.

Berdasarkan  kenyataan beliau itu, bermakna jumlah kerugian akibat penipuan visa umrah sebanyak RM10 juta antara 2012 hingga 2017 adalah bersamaan dengan RM2 juta setahun.

Tetapi, melalui sistem IMAMS yang diperkenalkan oleh kementerian itu yang kini telah dibatalkan akibat bantahan orang ramai, syarikat pengendalinya  dijangka mampu mengutip “tol” daripada jemaah umrah sebanyak lebih RM26 juta setahun.

Angka itu meliputi bayaran RM90.10 yang dikenakan kepada setiap jemaah umrah di mana pada tahun lalu, umat Islam yang menunaikan umrah adalah berjumlah 240 ribu orang dan angkanya diramalkan mencecah 290 ribu pada tahun depan.

Dalam erti kata lain, untuk menyelamatkan penipuan visa umrah yang berjumlah RM2 juta setahun, IMAMS diwujudkan dengan memangsakan semua jemaah umrah sehingga syarikat pengendalinya senang-senang mampu mengumpul kutipan kira-kira RM26 juta setahun.

Daripada jumlah itu, ditolak GST sebanyak RM5.10 yang masuk ke kantung kerajaan dan RM40 untuk insurans (meskipun insurans berkelompok untuk umrah boleh didapati hanya antara harga RM15-RM20 seorang), bayangkan berapa banyak keuntungan yang mampu dijana oleh syarikat pengendali IMAMS secara mudah dan berselindung di sebalik keinginan mengelakkan umat Islam daripada penipuan untuk beribadah ke tanah suci Mekah.

Maka, siapa penipu yang lebih besar sebenarnya?

Jadinya, untuk apa kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berkeras mahu menggantikan sistem lain menggantikan IMAMS jika akhirnya ia tetap berupa satu bentuk samunan di siang hari juga?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.