SIAPA PENGGANTI WANNDY?

KUALA LUMPUR – Pemimpin kanan militan IS, Mohd Rafi Udin, Akel Zainal, Zahar Abdullah dan Muhammad Fudhail Omar merupakan calon yang berpotensi untuk mengambil alih tugas Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

Kematian Muhammad Wanndy, militan IS dari Malaysia pada 29 April lalu menjadikan jawatan itu kosong dengan ramai mahu menggalas tanggungjawab besar itu.

Sumber perisikan mendedahkan ramai mengintai jawatan itu tetapi empat individu yang dinamakan dipercayai bakal mengisi kekosongan tersebut berdasarkan pengalaman dan kemasyhuran mereka.

“Wanndy merupakan wajah bagi sel IS Malaysia selama tiga tahun lalu. Walaupun dia tidak melakukan apa-apa pertempuran sebenar di Syria, dia berjaya merekrut dan mengatur serangan di Malaysia,” kata sumber kepada The Star pada Rabu.
Difahamkan Akel Zainal, 38, atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin secara aktif merekrut anak muda Malaysia untuk berjuang bersamanya di Syria.

“Dia merupakan bekas ahli muzik dan mempunyai seramai 15,000 pengikut di Facebook.

“Dia mempunyai beberapa pengaruh di kalangan sel IS di Malaysia,” kata sumber lain.

Militan kedua, Mohd Rafi, 51, yang juga dikenali sebagai Abu Awn Al-Malizi muncul dalam video IS tahun lalu menggesa serangan ke atas kerajaan sekular dan pemimpinnya.

“Dalam video itu, dia dilihat memenggal kepala seorang banduan yang kelihatan berasal dari Timur Tengah.

“Dia menjadi ahli militan sejak penubuhan Kumpulan Mujahideen Malaysia (KMM) pada 2001 dan turut menyertai Jemaah Islamiyah (JI) sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai IS.

Dua lagi militan lain iaitu Muhammad Fudhail, 25, dan Zahar, 36, berperanan mengeluarkan perintah kepada sel pengganas IS di Malaysia.

“Pihak berkuasa mendapati sebilangan militan Malaysia berhubung dan menerima arahan daripada mereka.

“Mereka juga bertempur secara aktif di Syria untuk IS,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kemungkinan besar salah seorang daripada empat militan itu akan mengambil alih peranan Wanndy.

“Mereka menyertai IS sejak awal 2014 dan pergi ke Syria pada tahun yang sama.

“Kami akan memantau perkembangan itu dengan teliti,” katanya.

– ANN

.