SIAPA PEMAJU BARU BANDAR MALAYSIA? SYARIKAT CHINA JUGA KE?

Penjualan 60 peratus pegangan saham Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium IWH-CREC Sdn Bhd dengan nilai RM7.41 bilion yang ditandatangani pada 31 Disember 2015 pada asasnya ialah sebahagian daripada pelan rasionalisai untuk menyelesaikan hutang-hutang 1MDB.
Dalam konsortium tersebut, China Railway Engineering  Corporation atau CREC menguasai 60 peratus pegangan dan selebihnya oleh Iskandar Waterfront Holding (IWH). Dalam IWH pula, kerajaan negeri Johor melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor mempunyai 40 peratus kepentingan.
Penjualan 60 peratus Bandar Malaysia itu adalah pelan ketiga dalam proses mengurangkan hutang 1MDB yang sarat masalah dengan pelan pertama ialah pertukaran pemilikan dengan IPIC dan pelan kedua pula ialah penjualan saham Edra Energy kepada syarikat China pada November 2015.
Bagaimanapun, perjanjian Bandar Malaysia itu telah berakhir semalam. Asasnya ialah kerana IWH-CREC didakwa gagal membuat pembayaran sebagaimana yang dijanjikan.
Dilaporkan juga, konsortium itu turut diberi 10 kali lanjutan masa untuk membuat pembayaran sebanyak RM7.41 bilion bagi pemilikan 60 peratus saham itu tetapi gagal melaksanakannya.
Kenapa IWH-CREC gagal membuat pembayaran meskipun 10 kali diberi lanjutan masa sedangkan CREC adalah antara syarikat pembinaan terbesar di China?
Adakah mereka tidak mempunyai wang atau sengaja mengengkari perjanjian dengan tujuan untuk menarik diri daripada perjanjian?
Jika demikian, apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian?
Adakah kerana tidak yakin dengan pasaran hartanah masa depan atau mulai goyang dengan kepimpinan negara sedia ada yang entah mampu bertahan lagi atau bakal tumbang?
Hakikatnya, pembangunan Bandar Malaysia adalah projek besar yang memerlukan banyak wang untuk melaksanakannya. Dianggarkan keseluruhan kos untuk membangunkan Bandar Malaysia di Sungai Besi yang sebelumnya adalah tapak TUDM bernilai hampir RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Najib Razak ketika diberi taklimat berdasarkan gambaran artis mengenai Bandar Malaysia menyifatkan kawasan itu sebagai mercu tanda baru bagi pembangunan sebuah kota metropolitan.
CREC kemudian dilaporkan akan membangunan kawasan Bandar Malaysia menjadi sebuah mutiara di bawah tanah dengan pelbagai kemudahan meliputi pusat membeli-belah, terusan, hub pengangkutan, taman tema, perkampungan budaya, pusat kewangan, kediaman dan sebagainya.
Selain berjanji untuk menarik lebih ramai pelabur China merancakkan pembangunan di bandar bawah tanah itu, CREC juga bercadang membina pejabat serantau baru miliknya bernilai RM8.8 bilion di Bandar Malaysia.
Malangnya, semua kini sudah berakhir. Bandar Malaysia yang digahkan sebelumnya hanya tinggal bandar angan-angan jika gagal mendapatkan pelabur baru.
Dengan penarikan diri IWH-CREC daripada menjadi pemaju Bandar Malaysia, ramai yang bangga kononnya tanah itu kembali menjadi milik Kementerian Kewangan. Saluran televisyen perdana juga dilaporkan dengan bangganya berkata demikian.
Jangan kita lupa, asas penjualan Bandar Malaysia ialah untuk menyelesaikan hutang dan sebab itu jugalah tanah bekas tapak TUDM itu diberikan kepada 1MDB dengan harga yang tidak diketahui. Yang pasti harganya rendah berbanding nilai pasaran.
Tidak jauh daripada Bandar Malaysia, tanah TRX di Jalan Imbi dijual oleh kerajaan kepada 1MDB dengan harga hanya RM60 sekaki persegi berbanding harga pasarannya menghampiri RM3,000 sekaki persegi.
Benarlah buat sementara ini Bandar Malaysia milik Kementerian Kewangan, tetapi sampai bila?
Sekarang ini ia menjadi milik Kementerian Kewangan bukan kerana Kementerian Kewangan mahu ia jadi demikian, sebaliknya kerana pemaju menarik diri. Jika pembayaran dibuat oleh IWH-CREC, ia pasti kekal milik mereka dan tidak kembali menjadi milik Kementerian Kewangan.
Sediakah kerajaan sekarang membangunkan Bandar Malaysia secara sendirian atau dengan kerjasama syarikat-syarikat tempatan tanpa penyertaan pelabur luar?
Siapakah yang ada banyak wang ketika ini, selain China?
Dalam pada itu, siapakah yang sedia membangunkan Bandar Malaysia dan di waktu yang sama juga tolong menyelesaikan hutang-hutang 1MDB?

Syarikat China jugakah bakal jadi pilihan Putrajaya?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.