SIAPA – NAJIB? KINI MASA UNTUK BURU ‘BAPAK PERASUAH’

Selepas membuat serbuan dan tangkapan suspek, kini masa untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu “bapak perasuah” yang cuba berselindung di sebalik imej yang kononnya bersih.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub, berkata orang ramai berdiri teguh menyokong ketegasan SPRM berkenaan memburu pelaku raruah terbabit dan penyokong.

Pada masa sama Salahuddin menyatakan, individu terbabit mungkin cuba meraih simpati dengan pihak istana.

“Kita sebagai rakyat Johor akan berdiri teguh menyokong ketegasan SPRM untuk terus memburu bapak perasuah dan konco-konconya walaupun mungkin mereka ini akan bergayut di pagar istana untuk mencari simpati,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Pagi tadi, SPRM mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menahan reman seorang exco Johor selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes skandal tanah di negeri itu.

Datuk Abd Latiff Bandi ditahan selepas hadir di pejabat SPRM Johor semalam dan dibawa ke mahkamah majistret sebentar tadi.

Semalam, SPRM juga merampas wang bernilai RM42,000, kereta Toyota Vellfire dan 150 beg tangan ketika membuat serbuan di rumahnya.

ADUN Endau itu diiringi lapan pegawai SPRM ke bilik mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi.

Perlu diberi penghargaan

Beliau turut disambut lebih 10 penyokong dan seorang daripada mereka dilihat memeluknya.

Pada 5 Mac lalu Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, membayangkan akan ada perkembangan menarik di Johor dalam tempoh terdekat.

Kata Azmi, tindakan itu juga mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk istana dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Skandal tanah di negeri itu mula terbongkar selepas SPRM menahan enam lelaki, termasuk seorang anak exco pada 25 Februari lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan penyelewengan harta tanah di Johor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata suspek berusia antara 25 dan 50 tahun membabitkan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan negeri, dua pemaju, seorang peguam dan seorang awam.

Menurut Salahuddin, rakyat Johor kini hairan bagaimana seorang anggota exco negeri disiasat atas kegiatan rasuah jika ia tidak mendapat restu dan izin “bapak perasuah”.
“Pentadbiran Menteri Besar Johor di bawah Khaled mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas isu rasuah harta tanah ini kerana beliau ialah pengerusi bagi portfolio hasil bumi, pentadbiran, kewangan dan perancangan pembangunan Johor dalam kabinet kerajaan negeri,” katanya.

Pada masa sama, kata Salahuddin rakyat menyanjung tinggi titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberikan perkenan kepada SPRM membanteras gejala rasuah dalam pentadbiran kerajaan Johor.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pengarah SPRM negeri seharusnya diberikan penghargaan oleh rakyat kerana menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mengheret petualang negara dan rakyat ini ke muka pengadilan,” katanya.

– M’kini

.