Siapa kata Melayu sokong Najib, Umno – Rafizi

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata pembangkang menyedari kebimbangan meluas mengenai persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mewujudkan lebih banyak kerusi majoriti Melayu.

Bagaimanapun ketika berucap pada majlis makan malam anjuran DAP Pulau Pinang malam tadi, Rafizi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan kesilapan sekiranya berpendapat langkah tersebut akan memberi kelebihan kepada Umno.

Rafizi berkata sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beliau tidak pernah berjumpa mana-mana orang Melayu yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri dan Umno.

“Siapa kata Melayu sokong Najib dan Umno? Saya tak jumpa seorang pun Melayu dalam beberapa bulan lepas, yang menyokong Najib dan Umno.

“Saya percaya ramai Melayu tak percaya Najib dan mahu lihat perubahan kepimpinan,” katanya sambil menerima tepukan daripada mereka yang hadir.

Bagaimanapun Rafizi mengakui bahawa pembangkang memerlukan strategi yang betul untuk menarik pengundi Melayu pada pilihan raya akan datang.

Sebelum ini parti politik termasuk DAP, PKR, MCA dan Gerakan menyatakan kebimbangan mereka dan membantah persempadanan semula oleh SPR.

DAP menggesa pilihan raya diadakan lebih awal di Selangor, namun menteri besarnya Datuk Seri Azmin Ali menolak cadangan itu kerana ia umpama mengkhianati mandat diberikan oleh rakyat. – M’kini

.