SIAPA AKAN JADI TERAJU BARU KHAZANAH?

LAPORAN Straits Times Singapura mengenai pulangan tidak menguntungkan Khazanah Nasional Berhad daripada strategi pelaburan dan kepimpinannya jadi tajuk berita besar dalam media Malaysia yang sejak kebelakangan ini semakin kritikal terhadap dana pelaburan negara itu, sesuatu yang mengejutkan.

Namun sikap kritikal berpunca daripada satu isu — jawatan tinggi di Khazanah yang diterajui oleh Azman Mokhtar sejak 15 tahun lalu. Kontraknya akan berakhir pada 2019 dan sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk mencari penggantinya.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Arul Kanda Kandasamy yang kini mengetuai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi ketika tempoh jawatan Arul Kanda di 1MDB akan berakhir hujung bulan depan, penyokongnya dijangka akan berkempen bersungguh-sungguh memajukan beliau ke jawatan kanan yang kosong di Khazanah.

Serangan pertama untuk perubahan pengurusan itu bermula dua bulan lepas ketika Peter Bellew meletak jawatan sebagai pengarah urusan syarikat penerbangan negara, Malaysian Airlines Berhad.

Dua akhbar — New Straits Times dan The Malay Mail — menyiarkan laporan yang sama memetik sumber mendakwa pengurusan Khazanah punca perletakan jawatan Bellew yang mengejutkan itu.

Khazanah menafikan laporan tersebut. Bellew juga menafikannya.

Semalam, serangan kedua datang daripada laporan ST di Singapura dan sebuah stesen televisyen Malaysia tentang prestasi lembab dana pelaburan berdaulat itu dan strategi pelaburannya yang tersasar.

Khazanah menjawab laporan itu, mendakwa ia mengelirukan. Namun dengan kedudukan No. 2 yang baru diwujudkan di Khazanah yang akan diisi tidak lama lagi, kempen media itu akan jadi lebih hebat.

Siapa yang jadi timbalannya akan berada pada kedudukan utama untuk mengambil alih apabila Azman bersara pada 2019. Selain Arul Kanda, seorang lagi pesaing utama ialah Tengku Zafrul Aziz, yang mengetuai bank peminjam kedua terbesar di Malaysia, Kumpulan CIMB, yang dimiliki oleh Khazanah.

Arul Kanda yang petah bergantung sokongan daripada beberapa menteri dan jentera dalam kem Perdana Menteri Najib Razak. Mereka berterima kasih padanya kerana menjelaskan skandal 1MDB kepada akar umbi Umno.

Namun pengkritiknya mengatakan rekod beliau di 1MDB tidak kemas kerana masalah berkait dengan Bandar Malaysia. Ada juga kebimbangan tentang pertimbangan politik akan membayangi keputusan pelaburan Khazanah

Tetapi Najib, yang juga pengerusi Khazanah, belum memberi petunjuk sama ada beliau mahu seseorang dari Khazanah atau Arul Kanda atau Tengku Zafrul untuk jadi orang No. 2 itu.

Difahamkan juga pengganti Azman tidak mungkin datang dari Khazanah sendiri. Azman juga dibawa masuk ke Khazanah selepas menerajui syarikat perunding, BinaFikir untuk membetulkan Malaysia Airlines sebelum ini di bawah penstrukturan semula Wide Asset Unbundling (WAU).

Di bawah bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, Azman diberi mandat untuk mengendalikan Khazanah secara profesional, dengan fokus membetulkan proses dan tadbir urus yang baik selain jadi katalis kepada pembangunan koridor ekonomi.

Beliau membentuk pasukan yang berpengalaman tetapi berpegang pada proses yang cermat yang membawa pulangan selesa kepada dana itu.

Namun sejak beberapa bulan lalu, laporan media menunjukkan kriteria utama Najib melantik seseorang ke syarikat berkaitan kerajaan ialah kesetiaan kepadanya.

Terutamanya apabila beliau mula berkempen untuk pilihan raya umum yang mungkin diadakan pada Mac atau April 2018.

Ini memberikan beliau beberapa pilihan, termasuk Arul Kanda dan Tengku Zafrul.

Keputusan itu mungkin dibuat seawal pertengahan Disember apabila lembaga pengarah Khazanah bersidang selepas perhimpunan agung Umno minggu depan.

Itulah sebabnya ada kempen melalui media untuk menunjukkan pengurusan Khazanah kurang cekap selama ini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.