SHUHAIMI NAFI LARANG PAN BERTANDING DI SELANGOR, PULAU PINANG

SHAH ALAM – PKR menafikan meminta sekutunya, PAN supaya tidak bertanding di Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagaimana yang dilaporkan akhbar, baru-baru ini.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp berkata, pihaknya tidak membuat sebarang keputusan untuk melarang PAN bertanding di kedua-dua negeri berkenaan.

Sebaliknya, beliau mengakui ada mencadangkan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberikan fokus dan tumpuan di kawasan selatan Semenanjung atau negeri-negeri lain yang tidak dikuasai pakatan pembangkang.

“PKR Selangor sangat bersetuju strategi satu lawan satu untuk berdepan BN (Barisan Nasional) dengan menyeru PPBM memberikan lebih fokus dan tumpuan di kawasan selatan Semenanjung atau negeri-negeri lain yang belum dikuasai pakatan (pembangkang).

“Bagaimanapun PKR Selangor akan akur dengan arahan daripada kepimpinan untuk melaksanakan sebarang kerjasama termasuk dalam pembahagian kerusi dengan PPBM,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, isu pembahagian kerusi hanya akan ditentukan oleh kepimpinan parti di peringkat pusat manakala pihaknya bersedia memberikan sebarang cadangan bersesuaian secara tertutup.

– UTUSAN ONLINE
.