SHAHRIZAT: HANYA 2 PILIHAN – NAJIB ATAU ‘MAHARAJA LIM’

Pilihan raya umum ke-14 adalah tentang memilih Datuk Seri Najib Razak yang memimpin kerajaan atau Lim Kit Siang yang memimpin pembangkang, kata Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Hanya ada dua pilihan – kerajaan dipimpin Najib melalui BN atau pembangkang yang dipimpin ‘Maharaja Lim’,” katanya dalam ucapan dasar pada perhimpunan agung Wanita Umno di PWTC hari ini.

Shahrizat dalam ucapannya turut meningatkan perwakilan Wanita Umno agar memastikan negara “tidak terlepas ke pembangkang”.

Berhadapan dua pilihan itu, beliau berharap rakyat akan memilih “pihak di sebelah kanan” yang dipimpin Najib.

“Kita kenal hati budi (dan) rekod pencapaian Najib. Itu (di sebelah) kanan.

“(Di sebelah) kiri, wahai rakyat, kerajaan yang akan dikemudi DAP. Sanggupkah rakyat Malaysia serah negara yang kita bina sekian lama kepada pemimpin cauvinis, di mana agenda mereka amat membimbangkan kita?” katanya.

image: https://i.malaysiakini.com/1190/a893e466f35d23ef727c9f66f222db64.jpeg

Bagi memastikan ia tidak berlaku, Shahrizat menggesa para perwakilan agar bersama-samanya untuk terus memperjuangkan BN “habis-habisan”.

Pemimpin Umno memang sentiasa menuduh DAP sebagai ancaman kepada kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Islam.

 

Mereka juga mendakwa parti itu sebagai yang paling berkuasa dan menentukan setiap keputusan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kedua-duanya dinafikan berulang kali oleh pemimpin parti itu.

Mengulas ucapan Shahrizat itu, Lim berkata bekas menteri itu memiliki IQ yang rendah jika benar-benar mempercayai kata-katanya.

“IQ rendah jika Shahrizat mempercayainya; tetapi jika tidak – tahap moralnya yang sangat rendah,” kata Lim lagi.

– M’kini

.