SHAHRIR SEDIA LAWAN ADIK, NAMA-NAMA BESAR PEMBANGKANG

Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad sedia berdepan dengan nama-nama besar dalam pakatan pembangkang yang mahu bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ini termasuklah adiknya sendiri, Khalid Samad yang kini merupakan anggota parlimen Shah Alam.

“Pada awal ramalan saya PRU ke-14 adalah yang paling mudah.

“Tetapi apabila sudah dengar macam-macam (nama) hendak datang ke Johor termasuk Khalid Abd Samad, jadi, saya ingat kalau semua sudah berminat pada Johor, saya pun berminat jugalah berdepan dengan mereka dalam apa pun kedudukan,” katanya seperi dilapor Bernama.

Shahrir berkata demikian kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan 4 All, di Johor Bahru malam tadi.

Sebelum ini, Khalid dilapor berkemungkinan akan bertanding di Johor pada PRU14.

Shahrir yang juga Pengerusi Felda menegaskan tidak akan berundur sebaliknya bersedia menentang mana-mana calon besar pembangkang.

“Dengan Mahathirnya (Tun Dr Mahathir Mohamad)… dengan Anwarnya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan Muhyiddinnya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Kit Siang (Lim Kit Siang), semua hendak terus tumpu menjadikan Johor sebagai frontline state (negeri barisan depan), jadi takkanlah saya hendak undur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar berkata budaya bertanding secara berpindah-randah seperti dilakukan Lim bukanlah amalan BN.

Frontline state bagi kita (BN) adalah semua negeri sebab kita hendak perintah Malaysia. Kita bukan soal hendak menggodak hanya satu negeri sahaja.

“Tidak bolehlah berpolitik macam Lim Kit Siang buat. Apa yang dia balas pada pengundi apabila dia berpindah? Dia tidak minat berkhidmat kepada pengundi dan biarlah rakyat menilai tindakan seperti ini,” katanya.

– M’kini

.