SHAHRIR: NAJIB TAK TERLIBAT KES FELDA ‘HILANG’ TANAH

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam pertukaran hak milik tanah Felda kepada Synergy Promenade Sdn Bhd.

Katanya, pihak Pejabat Perdana Menteri (PMO) sendiri tidak mengetahui mengenai isu pertukaran tersebut sehingga meminta siasatan audit mengenainya dilakukan.

“Kalau Felda tak tahu macam mana PMO nak tahu, tak ada siapa yang tahu, Felda pun tak tahu, lembaga (pengarah) pun tak tahu, lepas di pindah milik tak dimaklumkan pada Felda Investment Corporation (FIC).

“Kalau PM tahu, takkan dia suruh kita (Felda) siasat, buat laporan polis. Ini tindakan dibawa oleh PM. PM yang arahkan untuk ambil tindakan,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media mengenai pertukaran hak milik tanah Felda di Menara Felda, hari ini.

Terdahulu Shahrir ditanya mengenai persoalan yang dibangkitkan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendesak beliau menjawab sama ada Najib terlibat atau tidak dalam hal itu memandangkan Felda berada dibawah PMO.

Rafizi merujuk kepada Seksyen 3 Akta Pembangunan Tanah 1956, yang berkaitan dengan Felda.

Khususnya, ahli parlimen PKR itu berkata Seksyen 3 (3) (c) dan Seksyen 3 (3) (ca) memerlukan Felda mendapatkan kelulusan daripada menteri yang bertanggungjawab untuk memasuki apa-apa perjanjian dengan pemaju, termasuklah projek usaha sama.

Felda diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Justeru, Rafizi menuntut supaya Shahrir menjelaskan sama ada Najib adalah pihak yang diberikan kuasa untuk meluluskan perjanjian itu.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata siasatan sedang berlangsung dan jika pihak berkepentingan didapati terlibat terhadap pertukaran hak milik tanah itu, tindakan tetap akan diambil.

“Kena ambil tindakan, siapa pun dia. Salahlaku tak ada kompromi. Kenyataan Perdana Menteri sendiri tak berkompromi mengenai kepentingan Felda terhadap salah dan salah laku sekiranya didapati bersalah akan diambil tindakan,” katanya.

Shahrir hari ini mengumumkan Felda mendapat kembali tanahnya yang dipindah milik kepada Syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd melalui perjanjian yang ditandatangani pada 1 petang tadi.

Shahrir turut menyindir Rafizi mengenai kejayaan pertukaran tanah itu mungkin doa dari perdana menteri ketika menunaikan umrah minggu lalu.

“Cakap dengan Rafizi mungkin ini doa PM pergi ke mekah, raudhah untuk kebaikan kita semua,” katanya.

– M’kini

.