SHAHRIR: ‘KAMI TIDAK AKAN CAMPUR TANGAN DALAM FGV’

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak akan campur tangan dan mengurus secara terperinci Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), walaupun merupakan pemegang saham utamanya, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata, FGV mempunyai pelbagai aktiviti seperti pengilangan, penapisan, pengangkutan serta perladangan dan tentunya tahu selok-belok perniagaannya.

“Kami biarkan kepada mereka, kami tidak boleh campur tangan dan mengurus secara terperinci.

“Felda tidak perlu campur tangan dalam tadbir urus FGV. (Ia syarikat tersenarai) dan mempunyai peraturan dan kaedah (untuk diikuti),” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Shahrir berkata demikian ketika ditanya mengenai kerugian yang dialami FGV dan strategi perniagaannya.

Menurut laporan, Felda mempunyai 17.29 peratus pegangan langsung dalam FGV dan pegangan tidak langsung sebanyak 19.4 peratus yang menjadikan jumlah keseluruhan 36.69 peratus.

Felda, kata beliau, tidak mempunyai rancangan untuk mengurangkan pegangannya dalam FGV.

Mengenai usaha niaga di Turki, Felda Iffco Gida Sanayi, beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad tahu tentang impaknya.

“Kami perlu membenarkan beliau melaksanakan rancangannya. Mereka telah memberikan penjelasan dan jaminan kepada kami mengenai cara mereka akan menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Pada November tahun lepas, FGV mendapati berlaku penipuan dalam anak syarikat yang dimiliki 50 peratus, Felda Iffco, yang mengalami kerugian stok sebanyak  RM57 juta.

Baru-baru ini FGV mengumumkan kerugian kewangan dalam audit forensik dan syarikat kini menunggu laporan rasmi sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Syarikat itu juga sedang merangka kertas kerja berkaitan untuk tuntutan perlindungan insurans membabitkan kes berkaitan penipuan yang membolehkan ganti rugi untuk sebahagian besar kerugian yang direkodkan.

Shahrir, bagaimanapun, mengakui sebagai pemegang saham utama, Felda mahu melihat FGV berjaya dan maju dari segi segala urusan.

“Kami mahu melihatnya berjaya. Kerana yang paling penting untuknya berjaya ialah mendapatkan dividen. Barulah kita mendapat pulangan pelaburan.

“Bagaimanapun bukan kita (pemegang saham) membuat kenyataan, kerana ia mungkin boleh menyebabkan harga saham (FGV) tiba-tiba naik atau turun. Kita tidak sepatutnya berkata apa-apa yang boleh mempengaruhi harga pasaran,” kata Shahrir.

“Ini tidak bermakna Felda utup mata, Felda juga mempunyai wakil untuk melihat bagaimana FGV berfungsi dan mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah syarikat yang berjaya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau merancang untuk menemui lembaga pengarah FGV, beliau berkata: “Tiada perancangan untuk bertemu dengan FGV. Semua pertemuan saya adalah dengan lembaga pengarah Felda dan peneroka Felda.”

– Bernama

.