SHAHIDAN SELAR PEMBANGKANG, PERUNTUKAN BANJIR HENDAK, BAJET 2018 TOLAK

KERAJAAN kecewa dengan ahli Parlimen pembangkang yang meminta peruntukan bantuan banjir tetapi menolak Bajet 2018  semasa rang undang-undang perbekalan itu dikemukakan untuk pengundian dasar di Dewan Rakyat semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim berkata antara kandungan ibu segala bajet itu termasuk peruntukan untuk menangani banjir.

Perdana Menteri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2018 pada 27 Oktober lepas mengumumkan peruntukan RM517 juta untuk rancangan tebatan banjir di seluruh negara.

“Yang berhormat minta peruntukan (banjir) tetapi tak sokong bajet semalam? Sepatutnya disokong.

“Saya kesal pembangkang menentang belanjawan semalam termasuk peruntukan membantu mangsa banjir,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang bertanyakan adakah Pulau Pinang diberikan peruntukan bantuan banjir simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.

Sim pada sesi soal jawab menteri mendakwa Terengganu dan Kelantan menerima bantuan RM2 bilion selepas dilanda bencana banjir besar pada 2015.

Bajet 2018 semalam diluluskan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat dengan 107 daripada 222 ahli Parlimen menyokong.

Sebanyak 59 ahli Parlimen pembangkang menolaknya, manakala 11 daripada PAS berkecuali.

Dalam pada itu, Shahidan menafikan kerajaan persekutuan memberikan bantuan RM2 bilion kepada Terengganu dan Kelantan sebaliknya hanya memberikan bantuan baik pulih rumah.

“Dakwaan Terengganu dan Kelantan mendapat RM2 bilion itu tidak benar. Kami hanya terlibat untuk membaiki rumah semasa banjir besar… 650,000 mangsa, banjir yang terbesar,” katanya.

Pada 5 November lalu, Pulau Pinang dilanda ribut besar yang membawa hujan lebat dan angin kencang menyebabkan banjir di semua daerah negeri itu serta beberapa bahagian di Kedah.

Bagaimanapun, Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata kerajaan persekutuan tidak mengumumkan sebarang peruntukan baharu ketika Najib melawat mangsa banjir di negeri itu pada Selasa.

Katanya, terdapat keperluan untuk menjelaskan perkara itu selepas ia disalah lapor bahawa Najib mengumumkan RM150 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Pinang, menyebabkan pemimpin Barisan Nasional dikritik kerana “kitar semula pengumuman dana”.

Bagaimanapun, Shahidan dalam jawapannya di Dewan Rakyat menegaskan kerajaan persekutuan sudah membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dengan sewajarnya.

“Masa pusat perpindahan banjir (Pulau Pinang), kita jaga mereka dengan baik,” kata Shahidan yang merujuk peranan Majlis Keselamatan Negara.

– https://www.themalaysianinsight.com

.