SETIAUSAHA NAJIB CEROBOH WILAYAH ZAHID?

Taktik kotor Umno/BN menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bakal menjelma dengan pelbagai taktik propaganda perkauman dan agama untuk menakut-nakutkan rakyat.

Apapun saya percaya rakyat akan membuat pilihan yang rasional dan terbaik demi masa depan negara.

Terserlah baru-baru ini kerajaan Umno/BN akan menggunakan taktik terdesak terhadap DAP yang didedahkan oleh setiausaha akhbar perdana menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad pada Khamis lepas.

Taktik terdesak yang diumumkan Tengku Sariffuddin jelas menunjukkan pelan tersembunyi Datuk Seri Najib Razak untuk PRU14.

Tetapi sebagai setiausaha akhbar kepada Najib, Tengku Sariffuddin secara terbuka menunjukkan penghinaan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Hal ini kerana beliau menceroboh wilayah dan bidang kuasa Zahid, memandangkan portfolio Pendaftar Pertubuhan adalah secara langsung di bawah Menteri Dalam Negeri dan belum dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Ini menunjukkan penghinaan kakitangan Najib kepada timbalan perdana menteri sebagai orang nombor dua dalam kerajaan.

Sekiranya pegawai berpangkat setiausaha akhbar kepada perdana menteri boleh membuat penghinaan terbuka terhadap timbalan perdana menteri, ini membayangkan kekusutan dan kekecohan dalam pentadbiran Najib.

Kenyataan Tengku Sariffuddin adalah petanda kuat bahawa lingkaran dalaman Najib serius mempertimbangkan pembatalan pendaftaran DAP dan pengharaman penggunaan logo roket pada PRU14.

Kegusaran BN terhadap DAP yang secara konsisten berkempen menolak kerajaan rasuah akhirnya benar-benar menjadi ancaman kepada Najib.
Oleh itu, persediaan parti di pelbagai peringkat dalam Pakatan Harapan perlu digerakkan segera bagi menghadapi pelbagai kemungkinan taktik kotor dan terdesak kerajaan BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

– M’kini

.