SETIAP KALI PERSEMPADANAN SEMULA, BN MENANG BESAR

SETIAP kali persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 1974, Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menang besar, kata Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman.

Redzuan berkata, ini dapat dibuktikan ketika Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004 yang menyaksikan BN menang besar di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).

“Orang kata BN menang besar pada 2004 sebab faktor populariti Pak Lah tetapi sebenarnya kerana persempadanan semula.

“Kalau lihat dari segi undi popular, Dr Mahathir dapat 63.9% pada 1999 berbanding Pak Lah yang hanya dapat 63.8% pada 2004.

“Maknanya Dr Mahathir lebih popular daripada Pak Lah,” kata Redzuan dalam ucapannya semasa forum “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan BN: Di Mana Hak Pengundi?” anjuran IDE di Shah Alam hari ini.

Dr Mahathir merupakan bekas pengerusi BN yang memimpin gabungan itu untuk memenangi majoriti dua pertiga dalam lima pilihan raya umum.

Pada 2003, beliau meletakkan jawatan dan digantikan dengan Abdullah.

Pada 2004, BN memenangi kerusi Parlimen terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak 195 daripada 219 yang dipertandingkan walaupun hanya mendapat 63.8% undi popular.

Manakala pada 1999, menurut Redzuan, BN hanya memenangi 148 daripada 193 kerusi Parlimen dipertandingkan akan tetapi mendapat 63.9% undi popular.

Tambahnya, sebelum PRU11, SPR melakukan persempadanan kawasan pilihan raya baharu selepas ramai Melayu menyokong pembangkang berikutan “Peristiwa Mata Lebam” Anwar Ibrahim pada pilihan raya 1999.

Jelas Redzuan, pada ketika itu, lebih 50% Melayu menyokong pembangkang sehingga PAS berjaya merampas Terengganu dan mengekalkan kuasanya di Kelantan.

Prof Dr Mohammad Redzuan Othman menunjukkan perbezaan kawasan Parlimen Lumut sebelum dan selepas persempadanan semula. Dalam masa sama, beliau menjelaskan yang sebelum PRU11, SPR melakukan persempadanan kawasan pilihan raya baharu selepas ramai Melayu menyokong pembangkang berikutan “Peristiwa Mata Lebam” Anwar Ibrahim pada pilihan raya 1999.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Januari, 2018.
Prof Dr Mohammad Redzuan Othman menunjukkan perbezaan kawasan Parlimen Lumut sebelum dan selepas persempadanan semula. Dalam masa sama, beliau menjelaskan yang sebelum PRU11, SPR melakukan persempadanan kawasan pilihan raya baharu selepas ramai Melayu menyokong pembangkang berikutan “Peristiwa Mata Lebam” Anwar Ibrahim pada pilihan raya 1999.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Januari, 2018.

“Sementara pada pilihan raya 1999, pengundi bukan Melayu pula merupakan penyelamat kepada BN.

“Persempadanan semula yang diadakan untuk PRU11 pada 2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu  pada nisbah 60:40 atau 55:45.

“Ini menyebabkan lahirnya banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung Malaysia,” katanya yang juga naib cancelor kepada Universiti Selangor (Unisel).

Redzuan berkata, dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, sudah enam kali persempadanan semula dilakukan iaitu pada 1958, 1974, 1984, 1994 dan 2003.

“Sebelum 2003 tak banyak protes kerana (pengundi) merasakan SPR telah menjalankan tugas dengan baik, adil dan saksama

“Sejak 1998, khususnya mutakhir ini terdapat kecenderungan yang menunjukkan kemenangan dicapai BN bukan kerana mereka popular tapi banyak dibantu persempadanan, mereka menang by design,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

,