SETIAP HARI KITA BERDOA DIA DIBEBASKAN, KATA BAPA MARIA

Apabila bapa Maria Chin Abdullah bertutur, bunyinya seperti berbisik. Tetapi apabila disebut tentang penahanan anaknya, nadanya jelas berbeza.

Jelas kelihatan kesedihannya, bekas jurutera berusia 87 tahun itu menunjukkan keratan akhbar berkaitan dengan penangkapan pengerusi BERSIH itu.

Artikel ini hampir keseluruhannya digariskan dengan dakwat merah.

“(Semua maklumat ini) saya dapat dari akhbar. Pihak polis tidak pernah memberitahu kami di mana dia dan berapa lama mereka akan menahannya,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di kediamannya Maria di Petaling Jaya.

Chin Kee Kong berkata, keluarganya bimbang tentang Maria, yang ditahan minggu lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

“Kami tak tahu bila dia akan dibebaskan. Setiap hari kita berdoa (agar dia dibebaskan),” katanya.

Bagaimanapun, Chin berharap dapat bertemu anak perempuannya secepat mungkin.

Merujuk kepada laporan berita mengenai beberapa tokoh besar yang bercakap menentang penahanan Maria, beliau berkata: “Mudah-mudahan tokoh-tokoh besar ini boleh membantu dia supaya pihak polis menerima penjelasan mereka dan membebaskannya.”

Sebelum pergi untuk temujanji rawatan di hospital, Chin juga menolak tanggapan bahawa anaknya mampu melakukan tindakan keganasan.

Adik Maria – Cynthia – sebelum ini mendedahkan bahawa bapa mereka tidak bercakap selama dua hari selepas Maria ditangkap, tapi mampu tersenyum kemudiannya selepas menerima berita mengenai sokongan terhadap Maria.

Apabila Malaysiakini mengunjungi rumah teres dua tingkat itu semalam, kereta Proton Maria diletakkan di anjung rumah.

Di dalamnya terdapat perabot, dengan tidak banyak ruang untuk bergerak. Ruang tamu penuh dengan barangan lain, dengan beg dan kotak memenuhi hampir setiap sudut dan ruang.

Tiga anak lelaki Maria meminta supaya tidak diambil gambar bahagian luar rumah mereka kerana mereka tidak mahu orang tahu lokasinya.

Anak sulungnya, Azumin, 23, yang baru pulang dari kelas, berkata ibu bapanya menekankan kepentingan pendidikan.

“Dan sekarang musim peperiksaan,” katanya yang mengikuti pendidikan asas dalam seni, sambil menambah bahawa walaupun keadaan semasa, dia masih perlu menghadiri kolej.

MKINI

.