‘SETIA KEPADA PRESIDEN KEKUATAN BN’

DI waktu UMNO ditubuhkan pada 1946, orang Melayu ha­nya kenal raja-raja sebagai ke­tua negeri dan pemimpin.
Rakyat (ketika itu) tidak terlibat dengan politik. Jus­teru mereka tidak percaya kepim­pinan yang terdiri daripada rakyat terutamanya kepimpinan untuk seluruh negara.

Tidak ramai yang ingin menonjolkan diri untuk me­mimpin sebuah organi­sasi po­-
litik yang dikehendaki mencabar penjajah, bahkan raja-raja sendiri. Mencari pe­mimpin menjadi masalah besar bagi orang Melayu. Apabila ada tokoh yang berbakat dan berani sedikit, ia mudah dite­rima tanpa apa-apa cabaran.

Ini diteruskan hingga selepas negara mencapai kemerdekaan 1957. Demikianlah mudahnya pemimpin diterima sehingga tidak ada cabaran terhadap Yang Dipertua, Timbalannya dan Naib-naib Yang Dipertua pada tiap-tiap tahun pemilihan Majlis Kerja Ter­tinggi UMNO diadakan.

Selepas dipilih, tidak ada yang tidak diterima oleh mana-mana pihak kerana tidak ada kumpulan dalam UMNO. Dengan itu UMNO kuat, tum­pat dan berwibawa.

Di kebanyakan negara yang mencapai kemerdekaan setelah sekian lama dijajah oleh kuasa-kuasa barat, kegagalan memerintah dan membangunkan negara disebabkan oleh hampir tidak ada pemerintahan di negara-negara ini yang berwibawa.

Adakalanya mereka menggugurkan demokrasi mendirikan kerajaan satu parti atau pemerintahan kuku besi. Tetapi kerajaan-kerajaan itu terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan pembangunan negara juga tidak dapat diadakan.

Namun, Malaysia sehingga kini masih berjaya mengadakan kerajaan yang berwibawa dan formula yang diciptakan oleh pengasas UMNO masih dapat diamalkan.

Bukan sahaja UMNO berjaya mengekalkan susunan parti tetapi cara ia bekerjasama de­ngan parti-parti lain juga masih dapat diteruskan.

Tetapi kunci segala-gala­nya adalah UMNO yang berwibawa.

Bagaimanapun Presiden UMNO hanya akan memegang jawatan Perdana Menteri jika UMNO mendapat kemenangan dalam pilihan raya umum.

Apakah UMNO akan tetap memenangi pilihan raya dan menerajui Barisan Nasional (BN)?

Apakah BN akan terus me­ne­-
rima UMNO jika parti lemah? Dan apakah BN tetap mendapat majoriti kerusi? Itu bergantung kepada kekuatan UMNO sendiri.

Waima apa pun, parti yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh berfungsi jika tidak tersusun rapi dan tidak mempunyai pemimpin yang disokong penuh,.

Apabila pemimpin sudah dipilih, sokongan padu harus diberi kepadanya termasuk oleh timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi – kerana hanya itu sahaja yang boleh menentukan kewibawaan pemimpin itu.

Selagi ia menjadi pemim-pin selama itulah ia perlu disokong.

Kesetiaan dan ketaatan kepada presiden bukanlah kera­na tubuh badannya, kerana peribadinya.

Kesetiaan kepada presi­den adalah kerana jawatannya – jawatan yang disandang olehnya mengikut perlembagaan dan melalui pemilihan parti.

– http://www.utusan.com.my

.