SETAHUN TANPA RAYMOND KOH, ISTERI TETAP TERUS BANTU ORANG MISKIN

SETAHUN selepas suaminya hilang, Susanna Liew isteri kepada pastor Raymond Koh masih meneruskan amal baktinya membantu rakyat terpinggir dengan mengambil ibu tunggal bekerja di kedai kedai barangan kemas.

Kerja sedemikian sekurangnya dapat mengalihkan fokus beliau daripada menunggu kepulangan Koh, yang diculik di siang hari pada 13 Februari tahun lalu.

Liew, 61, berkata beliau mula menjadikan barangan kemas sebagai hobi sejak tiga tahun lalu. Sejak itu beliau sedar yang beliau mampu menjalankan perniagaan itu dengan menggunakan khidmat ibu tunggal dan wanita yang memerlukan pendapatan lebih.

Ibu kepada tiga anak itu mula menjual barangan kemas di pasar raya sejak Jun lalu. Menurutnya, beliau berjaya mendapat satu unit gerai di Starling Mall, Damansara Uptown yang akan mula beroperasi selepas Tahun Baru Cina.

“Saya mula jual barang kemas di Desa Park City Mall tahun lalu.

“Tahun ini, saya berjaya dapat ruang meniaga di Starling Mall. Kami akan mula buka kembali pada 23 sampai 25 Februari,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Starling Mall hari ini.

Bagi mengawal kos, Liew hanya akan membuka gerai itu dua kali sebulan bergantung pada tarikh yang ditetapkan oleh Starling Mall.

“Berapa banyak wang yang saya dapat, beberapa peratus akan diserahkan kepada Harapan Komuniti untuk program ibu tunggal. Selain kelas barang kemas, saya juga menggaji beberapa ibu tunggal yang memerlukan kerja bagi membantu saya di gerai,” katanya.

Harapan Komuniti merupakan pertubuhan kebajikan bukan kerajaan yang diasaskan oleh suaminya pada 2004. Bertujuan untuk membantu rakyat terpinggir dan ibu tunggal, antara programnya yang lain adalah mengadakan pusat membaca dan pembelajaran untuk kanak-kanak kurang upaya.

Sejak Koh diculik, Liew dibantu dengan tertubuhnya tabung amanah yang digerakkan oleh peguam keluarganya. Peguam Kenny Ng berkata, tabung amanah itu juga akan membantu kerja Harapan Komuniti.

Liew berkata, secara kasarnya gerai itu akan diuruskan oleh anak perempuannya, Esther, 32, yang turut membantu mengajar dalam kelas barangan kemas.

“Saya mula buat kelas barang kemas untuk beberapa wanita sejak dua tahun lalu di Harapan Komuniti.

“Saya ajar mereka bagaimana untuk membuat barang kemas yang mudah seperti gelang dan subang, sementara saya buat barang yang susah sedikit seperti rantai yang ditatah dengan batu permata yang separa murah,” katanya, menambah yang beliau belajar kemahiran ini daripada seorang rakan dari Korea.

Susanna Liew mula adakan kelas menghasilkan barang kemas sejak dua tahun lalu bagi membantu ibu tunggal dan wanita lain yang memerlukan bantuan kewangan. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Februari, 2018.
Susanna Liew mula adakan kelas menghasilkan barang kemas sejak dua tahun lalu bagi membantu ibu tunggal dan wanita lain yang memerlukan bantuan kewangan. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Februari, 2018.

Gantung tak bertali, ibarat layang-layang putus tali

Walaupun masih aktif mencari jejak dan jawapan kehilangan suaminya, Liew masih meneruskan kehidupannya.

Baru-baru ini, beliau dan ahli keluarganya memberi keterangan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam siasatan awam kehilangan suaminya.

Esok sempena genap setahun kehilangan Koh, keluarganya akan mengadakan majlis sembahyang di gereja di Petaling Jaya.

Liew berkata, lebih kurang 200 orang telah mendaftar bagi menghadiri upacara itu yang akan menayangkan video mengenai Koh. Video itu dihasilkan oleh anak perempuannya, Esther.

Memandangkan kehilangan Koh masih misteri, apakah lagi yang ahli keluarga mampu buat selain mengingati kehilangan ketua keluarga mereka itu.

“Sudah setahun. Kami masih tidak tahu apa dah jadi dengan Raymond. Kami macam berpatah balik ke titik asal memandangkan masih tiada jawapan. Masih tiada kemas kini dan harapan kami untuk mendapatkan jawapan ibarat layang-layang terputus tali.

“Kami rasa sangat tawar hati memandangkan siasatan tidak bergerak ke mana, tambahan penggantungan (siasatan) semuanya umpama gantung tak bertali.

“Tapi kami tak akan sama sekali putus asa. Semua dugaan ini buatkan kami lebih tabah untuk teruskan perjuangan,” kata Liew.

Bulan lalu, siasatan Suhakam itu digantung selepas pihak polis mengumumkan yang mereka telah menahan suspek penculikan Koh.

Berita itu mengejutkan keluarganya memandangkan tertuduh, Lam Chang Nam yang pernah didakwa atas kesalahan peras ugut pada tahun lalu, telah dibersihkan oleh polis dari tuduhan penculikan.

Liew dan peguannya telah memperosal kenapa mereka tidak diberitahu mengenai perkembangan besar dalam kes itu, selain meluahkan kekesalan dan keraguan sama ada polis menahan orang yang betul.

Keluarganya sedang berusaha untuk menerima nasib sedemikian memandangkan Tahun Baru Cina kian hampir.

Seperti setiap tahun, Liew berkata mereka akan melawat keluarga suaminya di kampung halaman Koh di Johor Bahru.

“Raymond selalu akan cuba pulang untuk berjumpa ibu, lima saudara kandung perempuan dan tiga saudara kandung lelaki.

“Kami selalu adakan perjumpaan makan malam dengan keluarganya. Makanan kegemarannya adalah steamboat sebab itu dah macam tradisi untuk Tahun Baru Cina, selain itik.”

Tanpa suaminya tahun ini, Liew berkata keluarganya akan mengadakan perjumpaan di ambang Tahun Baru Cina dengan keluarganya dahulu sebelum berangkat ke selatan melawat keluarga Koh.

“Ini adalah kali pertama kami menyambut Tahun Baru Cina tanpa Koh. Kami sangat sedih. Kami harap sangat dia ada dengan kami. Itu harapan kami untuk Tahun Baru Cina ini, supaya dia boleh bersama kembali dengan keluarga.

“Sukar untuk anak-anak saya terutamanya Esther yang sangat rapat dengan Raymond.

“Dia rindukan ayahnya, dan kerap mengingati lawatan kami ke Johor Bahru yang mana Raymond selalu bercerita tentang kehidupannya membesar di sana. Mereka sangat rindukan dia.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.