SERINGGIT DALAM POKET NOH, 25 SEN DARI SELANGOR – AZMIN

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar memastikan peruntukan untuk projek kerajaan tempatan diagihkan secara adil.

Beliau juga menegaskan bahawa Selangor merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Itu adalah sangat tidak wajar bagi seorang menteri … Dia harus faham bahawa setiap ringgit di Malaysia dalam poketnya, 25 sen datang dari Selangor.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab moral beliau untuk memastikan bahawa ia mesti diagihkan mengikut undang-undang dan juga perlu berlaku adil kepada rakyat Selangor,” kata Azmin kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Ampang hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Noh Khamis lalu bahawa kerajaan terpaksa mengutamakan kawasan BN sejak tahun lepas kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menjalankan projek di semua 222 kawasan parlimen.

Selepas mengadakan penyusunan, barulah peruntukan berkenaan diagihkan kepada kawasan yang tidak dimenangi BN, katanya.
Sebelum ini, KPKT dilapor mengeluarkan surat bertarikh 17 Mac bagi mengarahkan pembatalan semua projek BP1 yang merujuk kepada projek-projek infrastruktur berskala kecil di kawasan yang tidak dimenanangi BN.

Azmin mempersoalkan mengapa Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang boleh bertindak demikian sedangkan beliau berasal dari negeri itu.

“Ini seolah-olah Noh Omar menghukum rakyat negeri Selangor sendiri. Bagaimana seorang wakil rakyat daripada Selangor menghukum rakyat Selangor?”soalnya.

– M’kini