“Antaranya isu bekas pemimpin yang sanggup memburukkan institusi yang dulu mereka naungi.

“(Bekas pemimpin UMNO) pernah berucap agar mempertahankan institusi (UMNO) tetapi se­karang ceritanya la­in pula,” katanya pada taklimat media menge­nai Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan isu kerjasama UMNO dan Pas akan turut dibawa oleh anggota perwakilan dan menyifatkan sebarang keputusan berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu akan dibuat selepas mendengar suara perwakilan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyempurnakan majlis pecah tanah bangunan tambahan UMNO selepas menyampaikan amanat dalam taklimat presiden yang dijadual pada 29 November.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan serentak perhimpunan agung ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malam, katanya.

“Berbeza dari tahun lepas di mana perhimpunan agung ketiga-tiga sayap dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing, tahun ini mereka minta timbalan perdana menteri untuk merasmikan serentak perhimpunan mereka,” katanya.

Tengku Adnan berkata, sebanyak 5,732 anggota perwakilan akan menghadiri perhimpunan kali ini.

Selain itu, katanya, 44 peserta daripada 12 parti politik dari 10 negara telah mengesahkan kehadiran mereka untuk mengikuti perhimpunan tahunan ini.

“Seramai 300 mahasiswa daripada 240 universiti awam dan 60 universiti swasta akan terlibat dalam perhimpunan ini atas nama Mahasiswa Nasional (Pemanas),” katanya.

Selain itu sebanyak 1,193 petugas media daripada 48 agensi termasuk tiga agensi antarabangsa akan membuat liputan pada perhimpunan kali ini.

Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu juga akan dipenuhi dengan pelbagai program sampingan antaranya Konvensyen Penerangan 2016, Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas 4.0).

Gerai-gerai jualan akan mula beroperasi pada 28 Nov di Dewan Tun Razak 3, manakala pameran akan diadakan di ruang legar Putra, Aras 2.

– BERNAMA

.