SERANG ZURAIDA: JAMAL DAN 9 PENGIKUT DIDAKWA

AMPANG – Pengerusi Gerakan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos dan sembilan pengikutnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang sebentar tadi terhadap pertuduhan menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang, dalam kejadian di Ampang Point, November lepas.

Jamal yang juga ketua Gerakan Baju Merah bersama Reza Jamin, 37; Ariffin Abu Bakar, 47; Mohd Shabudin Abu Hassan, 47; Izzrul Idris, 32; Hasannen Zikri Harizan, 24; Mohd Faiz Amirul Mahsan, 22; Mohd Yusoff Mohd Sharif, 26; Abd Razak Hassan, 29; dan R Balaguru, 30; mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka sebagai ahli satu kumpulan perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama didakwa telah menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bangunan Pasaraya Ampang Point, Ampang Jaya pada jam 4 petang 13 November 2016.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara mereka turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu bertindak agresif dengan cara merempuh halangan pihak polis bagi tujuan membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan pada masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu pula, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (akta 336) yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

– M’kini