SERAH KERUSI LUMUT: TAK SETUJU TAPI PERLU AKUR, KATA MP

Walaupun tidak bersetuju kerusi Parlimen Lumut diserahkan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH), namun anggota parlimen PKR Laksamana (B) Mohamad Imran Abd Hamid berkata, beliau akur dengan keputusan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Imran yang juga ketua cabang PKR bahagian Lumut berkata, beliau akur dengan keputusan untuk menyerahkan kerusi parlimen yang disandangnya itu kepada AMANAH demi kesepakatan HARAPAN.

“Kalau nak tanya saya, saya memang tak setuju tapi kita ada pemimpin. Jadi, sebagai pimpinan di bawah, pemimpin cabang, kalau itu keputusan pemimpin pusat kita akurlah.

“Lagipun ia diputuskan oleh kepimpinan HARAPAN, jadi saya akur demi kesepakatan HARAPAN,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, ditanya mengenai kenyataan oleh individu yang mendakwa dirinya sebagai jurucakap PKR Lumut, Mohd Zairas, Imran berkata, beliau berharap agar semua anggota di peringkat akar umbi “berlapang dada”.

Mohd Zairas dalam kenyataannya hari ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan HARAPAN menyerahkan kerusi Parlimen Lumut kepada AMANAH dan mendakwa berlaku kekecohan di kalangan anggota PKR di kawasan itu.

Sehubungan itu, Imran menasihatkan kepada semua anggota parti di Lumut agar bersikap terbuka dan bersama-sama HARAPAN menumbangkan BN.

“Siapa yang bertanding di Lumut tak apalah, yang penting kita sama-sama tumbangkan BN. Kami ada mesyuarat malam tadi, saya dah bagi penjelasan. Kita kena terbuka, berlapang dada.

“Nak ikutkan ramai tak puas hati tapi apakan daya, kita sebagai pengikut. Kalau tak puas hati pun, nak bantah, apa untungnya? Yang penting bersatu hati dan berlapang dada,” kata Imran.

Pada pilihan raya umum 2013 yang lalu, Imran mengalahkan calon BN dari MCA dengan majoriti sebanyak 8,168 undi.

Ketika konvensyen HARAPAN Ahad lalu, Ketua Setiausaha gabungan itu Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bertanding 52 buah kerusi, PKR 51, DAP 35 dan AMANAH 27.

Susulan pengumuman itu juga, terdapat beberapa kawasan parlimen HARAPAN yang tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi tersebut antaranya AMANAH di Johor, Wilayah Persekutuan dan Perak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang juga bakal menyaksikan kerusinya diserahkan kepada BERSATU, berkata dirinya menerima keputusan tersebut.

“Itu keputusan yang dibuat (oleh) pimpinan parti (PKR) dan saya terima keputusan itu. Ini keputusan parti bukan keputusan saya, saya terima,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kamaruddin adalah bekas ahli Umno yang dipecat pada 1999 yang kemudiannya menyertai PAS dan bertanding di bawah tiket parti itu. Berikutan terkuburnya Pakatan Rakyat, beliau memilih untuk bersama PKR.

“Saya boleh terima keputusan walau pun saya sudah empat penggal menjadi MP Tumpat tetapi keputusan parti ialah untuk menyerahkan kerusi itu kepada parti lain iaitu parti BERSATU dan saya terima keputusan itu,” katanya.

Ditanya mengenai peluang bagi HARAPAN mengekalkan kerusi itu, beliau berkata peluangnya adalah cerah memandang parti-parti sekutunya boleh bekerjasama.

“Peluangnya baik untuk menang kerana parti-parti dalam HARAPAN boleh bekerjasama dan kita dapat bersedia awal, jadi ini tidak seharus menjadi masalah,” katanya sambil menambah beliau menyerahkan kepada PKR untuk menentukan sama ada dirinya akan terus menjadi calon.

Pada PRU-13, Kamaruddin yang bertanding atas tiket PAS mengalahkan calon BN, Mansor Salleh dengan majoriti 10,624 undi.

– M’kini

.