SEPATUTNYA SUDAH LAMA BERSATU BERTEGAS DALAM SOAL DISIPLIN AHLI-AHLINYA

Bersatu adalah parti masa depan dan bakal menjadi kerajaan selepas PRU 14 akan datang bersama Pakatan Harapan untuk menggantikan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Najib Razak yang sarat dengan pelbagai isu, skandal dan masalah.
Sebab itu, tidak menghairankan apabila Bersatu menjadi parti yang paling banyak menerima gangguan dalaman yang kononnya dicetuskan oleh mereka yang tidak setuju dengan pemimpin-pemimpin tertentu serta membuat laporan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau ROS berkaitan pendaftarannya.
Tidak cukup dengan serangan semua pemimpin UMNO dan kerajaan terhadap Bersatu dan Tun Mahathir Mohamad, termasuk Najib sendiri yang seolah-olah dihantui ketakutan akan kehilangan kuasa, parti itu juga cuba dilemahkan melalui anasir-anasir dalaman yang sengaja ditimbulkan.
Sejak kebelakangan ini, jelas terlihat kecenderungan ahli atau bekas ahli Bersatu yang silih berganti tampil mengadakan sidang media yang difahami tujuannya ialah untuk melemahkan parti itu serta mengurangkan keyakinan rakyat terhadapnya.
Jika mereka ahli yang setia kepada parti dan ikhlas untuk bersama-sama menyelamatkan negara, mengapakah mereka sanggup berbuat demikian?
Sudah tentu mereka yang melakukan perkara itu tidak melakukannya dengan percuma, sebaliknya dipercayai ada habuan tertentu yang sedia menunggu atau sudah pun diterima.
Mereka itu adalah ahli palsu Bersatu yang sama ada memang diserap menyertai Bersatu atau tergoda dengan tarikan wang ringgit yang lumayan yang ditawarkan oleh pihak yang takut akan kehilangan kuasa.
Cara mereka mengadakan sidang media, membuat laporan kepada ROS dan kemudian dilayan dalam siaran media arus perdana yang memang diketahui umum dimiliki oleh UMNO, dengan sendirinya mengesahkan siapa dalang sebenar di sebalik sandiwara itu.
Namun demikian, dengan langkah Bersatu mengambil tindakan tegas memecat tiga ahlinya yang melakukan perkara itu, sambil memerhati ahli-ahlinya yang lain yang melakukan perbuatan yang sama, meskipun sedikit terlewat, ia masih boleh diberikan pujian.
Seharusnya sejak awal lagi Bersatu sudah bersikap tegas dalam soal disiplin ini. Ahli-ahli yang membuat onar dengan sengaja harus diambil tindakan tegas dengan memecat mereka sesegera yang mungkin.
Mereka adalah parasit dan tidak layak berada dalam Bersatu yang bakal menjadi kerajaan yang bersih dan bermatlamat menyelamatkan negara ini. Mereka sebaliknya lebih sesuai bersama UMNO yang sudah rosak dan akan kehilangan kuasanya tidak lama lagi.
Malangnya, ada beberapa ahli yang berbuat onar itu sampai beberapa kali sempat mengadakan sidang media dan memburuk-burukkan Bersatu tanpa diambil sebarang tindakan.
Sepatutnya, sebaik saja mereka muncul buat kali pertama memburukkan Bersatu, tindakan disiplin sudah pun diambil. Jangan dibiarkan dua tiga kali mereka muncul memakai baju Bersatu tapi memburukkan parti sendiri.
Dengan segera dipecat, mereka serta-merta tidak bernilai lagi jadinya. Apa pun sidang media dan cakap mereka selepas itu tidak akan dipeduli lagi. UMNO yang selama ini membayar mereka juga berkemungkinan akan menjauhkan diri.
Apa yang diharapkan ialah agar selepas ini Lembaga Disiplin Bersatu  lebih tegas dan kerap mengadakan mesyuarat berhubung pelanggaran disiplin di kalangan ahli-ahlinya.

Hanya ketegasan dalam membendung pelanggaran disiplin ini akan membantu kelancaran Bersatu bersama Pakatan Harapan menuju Putrjaya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.