‘SENYUM ADA MAKNA TU’

Di depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kelima-lima mereka adalah pemimpin negeri masing-masing.

Cuma salah seorang daripada mereka agak berbeza apabila menjadi menteri besar Pakatan Harapan – musuh politik utama kerajaan BN.

Namun, dalam pertemuan di Istana Negara itu, kesemua mereka – empat menteri besar dan seorang ketua menteri – nampak ceria, berbeza dengan ketengangan kerajaan-pembangkang dalam pelbagai isu.

Najib hari ini memuat naik gambar itu ke Twitter, bagaimanapun dengan kapsyen mengusik Azmin.

“Senyum ada makna tu,” katanya, yang kemudian mendorong pengguna Twitter membuat pelbagai spekulasi, termasuk terus memanjangkan gurauan itu.

Buttermilk: Masing-masing nak cover perut.

Penyokong Najib pula mengambil kesempatan menyindir Azmin.

Portal TV14.MY:‏ @AzminAli senyum dengan PM tu sebab nak minta dana dari kerajaan pusat ke? Cemburu sebab Kelantan dah dapat bantuanlah tu.

Penyokong Azmin juga membalas dengan menyindir Najib.

Saroki:‏ @NajibRazak Pass donation sikit.

Setakat laporan ini ditulis, tulisan Najib itu telah diulang tweet hampir seribu kali.

Turut dipaparkan dalam gambar itu adalah Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Kadir dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Azmin: Apa guna menangis?

Sementara itu, usikan Najib itu turut mengundang balasan ‘bijak’ Azmin.

Smile, what’s the use of crying?” katanya yang memetik lirik lagu tokoh jazz Amerika Syarikat Nat King Cole bertajuk “Smile“.

Take action, what’s the use of sighing?” tambahnya yang turut menggunakan “cool smiley”.

Pemimpin-pemimpin kanan negeri masing-masing hari ini hadir bersama sultan, raja dan yang dipertuan negeri masing-masing dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-247 di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Najib mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V manakala Azmin pula mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

– M’kini

.