‘SENJATA’ PAS KINI MEMAKAN DIRI

Kenyataan dibuat pemimpin Pemuda PAS mengenai Pakatan Harapan (HARAPAN) menunjukkan pergerakan itu kini panik apabila mereka dipinggirkan rakyat, kata seorang pemimpin PKR.

Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan kecenderungan pemimpin PAS cuba bekerjasama – sama ada secara langsung atau tidak – dengan rejim yang ada, rakyat tidak lagi menyokong mereka.

“Kepimpinan PAS sekarang mula nampak strategi yang mereka gunakan memakan diri sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin mengulas dakwaan dibuat Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mengaitkan undi kepada HARAPAN adalah tanda sokongan buat DAP.

DAP adalah salah satu parti komponen dalam HARAPAN dan pernah menjadi rakan PAS semasa era Pakatan Rakyat dulu. Bagaimanapun kedua-dua parti menjadi seteru selepas itu.

Pada keadaan tertentu pula pemerhati dan ahli politik melihat kemarahan PAS kepada DAP melebihi kesungguhan mereka melawan BN.

Kata Saifuddin PAS kini seperti sedang menekan butang panik apabila menyedari sokongan yang diterima mereka semakin merosot.

Bersatu jatuhkan BN

PAS juga, katanya, sedang mencontohi strategi Umno dengan menakut-nakutkan orang Melayu serta Muslim negara ini kepada DAP.

“Nampak macam PAS sedang menyertai flotila untuk membawa rakyat menyokong rejim sedia ada,” katanya.

Sebelum ini Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut menempelak Pemuda PAS yang dianggapnya kini bersuara seperti Pemuda Umno.

Terdahulu salah seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Dr Rais Hussin mendakwa setiap undi yang diberikan kepada PAS adalah tanda sokongan buat Umno.

Menurut Saifuddin sebelum ini DAP serta parti pembangkang lain – termasuk PAS – bersetuju untuk mendukung prinsip penting yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Persefahaman itu, katanya, terbukti apabila DAP, PAS dan PKR menandatangani manifesto bersama di Shah Alam pada 2009.

Antara prinsip penting yang setuju dipertahankan ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak keistimewaan bumiputera, hak kesaksamaan ekonomi dan perpaduan kaum.

Kata Saifuddin manifesto itu ditandatangani oleh bapa Muhammad Khalil sendiri, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut bekas anggota parlimen Machang itu, DAP menyertai HARAPAN kerana gabungan itu bersetuju dengan prinsip untuk menjatuhkan kerajaan BN.

“Prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju sentiasa menjadi pengikat antara parti dalam HARAPAN kerana matlamat utamanya ialah menggantikan BN sebagai kerajaan,” katanya.

– M’kini

.